fbpx
Gambar hiasan

K2

Jangan takut dapatkan vaksin Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TIADA siapa yang menduga bahawa pandemik Covid-19 yang mula dikesan pada pertengahan Disember 2019 di bandar raya Wuhan, Hubei, China telah mengorbankan jutaan penduduk dunia.

Kesan daripada pandemik ini, kehidupan dan sosioekonomi secara global telah terjejas.
Kini setelah lebih setahun berlalu, pandemik ini nampaknya masih terus bermaharajalela.

Banyak negara kini melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua termasuklah Malaysia sendiri.

Namun, kini masyarakat dunia boleh sedikit menarik nafas lega setelah beberapa syarikat telah berjaya menghasilkan vaksin bagi mengekang penularan pandemik tersebut.

Pakar Mikrobiologi Klinikal Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Nurul Azmawati Mohamed menjelaskan, kebiasaannya masa yang diperlukan untuk menghasilkan sesuatu vaksin adalah sekitar 10 hingga 15 tahun.

Menurutnya, pembuatan vaksin perlu melalui beberapa fasa iaitu fasa praklinikal yang melibatkan kajian ke atas sel dan haiwan selain juga tiga fasa klinikal yang melibatkan kajian ke atas manusia.

“Situasi Covid-19 yang agak tidak terkawal di seluruh dunia menyebabkan berpuluh-puluh syarikat di seluruh dunia berlumba-lumba menghasilkan vaksin Covid-19. Tempoh penghasilan vaksin dipendekkan dengan cara menggunakan kaedah baharu dan menjalankan fasa-fasa klinikal dengan serentak.

“Umum harus mengetahui bahawa suntikan vaksin bertujuan melindungi seseorang daripada sesuatu penyakit. Ia telah terbukti berkesan mengawal pelbagai penyakit berjangkit. Namun, masih ramai yang keliru dan tidak faham tentang vaksin,” ujarnya kepada K2.

Jelas Dr. Nurul Azmawati, vaksin adalah sejenis bahan yang diambil secara suntikan, oral atau semburan hidung.

Ia bertujuan untuk menghasilkan imuniti terhadap sesuatu penyakit berjangkit dengan cara merangsang penghasilan antibodi dan sel memori.

Penyakit akan dapat dicegah sekiranya seseorang itu ‘kebal’ atau imun terhadap penyakit tersebut.

 

 

BEBERAPA negara di dunia kini telah mula memberikan suntikan vaksin Covid-19 kepada warganya sejak Disember tahun lalu. – GAMBAR HIASAN

Dari aspek pembuatan vaksin, beliau menjelaskan, bahan asas vaksin ialah antigen yang boleh merangsang penghasilan antibodi. Antigen perlu mempunyai ciri-ciri yang sama atau hampir sama dengan bakteria atau virus yang ingin dilawan.

“Jenis-jenis vaksin bergantung kepada jenis antigen yang digunakan. Vaksin Covid-19 juga mempunyai beberapa jenis antaranya vaksin mati (inactivated vaccine) yang menggunakan seluruh bahagian kuman yang telah dimatikan melalui proses kimia, radiasi atau haba.

“Imuniti yang terhasil daripada vaksin jenis ini kurang ‘kuat’ berbanding vaksin hidup. Vaksin Covid-19 yang dihasilkan oleh negara China iaitu SinoVac dan SinoPharm menggunakan kaedah vaksin mati.

“Jenis vaksin Covid-19 yang lain pula, vaksin viral vektos menggunakan virus yang telah dimodifikasikan yang dikenali sebagai vektor pembawa genetik antigen. Contoh virus yang digunakan ialah adenovirus. Apabila virus menjangkiti sel, sel akan diarahkan untuk menghasilkan protein yang merangsang penghasilan antibodi. Vaksin ini boleh merangsang penghasilan antibodi yang kuat,” ujarnya.

Terangnya lagi, bagi Vaksin Viral Like Particles (VLP) pula, ia adalah molekul yang menyerupai virus tetapi tidak menyebabkan jangkitan.

Oleh itu, apabila diperkenalkan ke dalam badan, VLP boleh merangsang penghasilan antibodi yang kuat seperti vaksin hidup, tetapi ia selamat untuk diberikan kepada mereka yang mempunyai sistem imuniti lemah.

Partikel VLP yang sangat halus memudahkan ia masuk ke kelenjar limfa iaitu tempat di mana sistem imuniti diaktifkan. Vaksin Covid-19 jenis ini telah dibangunkan oleh Icosovax.

Dalam pada itu, katanya, jenis lain vaksin untuk Covid-19 adalah vaksin mRNA. Vaksin mRNA adalah kaedah terbaharu penghasilan vaksin. Pfizer dan Moderna adalah dua vaksin pertama menggunakan kaedah ini.

Ia mengandungi mRNA iaitu bahan genetik yang berfungsi untuk mengarahkan penghasilan protein oleh sel manusia.

Protein yang dihasilkan serupa dengan bahagian spike pada virus SARS-CoV-2, penyebab Covid-19.

“Kebaikan vaksin ini ialah ia lebih mudah dan murah untuk dihasilkan.

“Vaksin ini perlukan penyimpanan pada suhu beku negatif 20 darjah Celsius untuk Moderna dan negatif 70 darjah Celsius bagi Pfizer untuk menjamin kestabilan vaksin bagi mengelak daripada rosak,” katanya.

Mengulas mengenai kebimbangan masyarakat kini mengenai kesan sampingan vaksin yang hangat diperkatakan, Dr. Nurul Azmawati berkata, orang ramai dinasihatkan untuk tidak takut mendapatkan vaksin.

“Laporan kajian klinikal fasa 3 menunjukkan vaksin Covid-19 mempunyai keberkesanan sekitar 70 hingga 95 peratus. Banyak negara telah mula memberikan vaksin kepada rakyat sejak Disember 2020. Setakat ini, kesan sampingan serius yang dilaporkan adalah sangat sedikit.

“Pastikan anda mendaftar di aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan vaksin Covid-19,” tuturnya.

Sementara itu, Pakar Mikrobiologi Klinikal Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM, Prof. Dr. Che Ilina Che Isahak pula menegaskan, vaksin dapat mencegah penyakit berjangkit.

“Apabila antigen disuntik, sistem imun badan akan menghasilkan antibodi dan sel-sel memori yang spesifik kepada virus tersebut. Tindak balas ini dikenali sebagai respons primer.

“Respons primer mengambil masa beberapa minggu sebelum antibodi terhasil. Antibodi dihasilkan dalam kuantiti yang agak rendah. Sel-sel memori yang terhasil mengingati apa yang berlaku dan bagaimana cara untuk menghapuskan virus.

“Apabila jangkitan sebenar berlaku, sel-sel memori dengan mudahnya mengenal dan menyerang virus. Tindak balas ini dikenali sebagai respons sekunder. Respons sekunder adalah lebih cepat dan bilangan antibodi yang terhasil adalah lebih banyak,” bicaranya.

Tambahnya, vaksin membantu badan kita membina imuniti tanpa dijangkiti Covid-19.

 

 

MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin (kiri) baru-baru ini memberi jaminan vaksin Covid-19 dibeli Malaysia adalah selamat kerana sudah diuji secara klinikal.

Jelasnya lagi, kebanyakan vaksin Covid-19 telah diuji kepada golongan dewasa. Bagaimanapun, beberapa kajian lain perlu dilakukan untuk memastikan keberkesanan dan keselamatan vaksin untuk bayi, kanak-kanak dan remaja.

“Jika jumlah vaksin terhad, keutamaan pemberian harus diberikan kepada petugas barisan hadapan kesihatan, pesakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi serta warga emas berumur lebih 65 tahun.

“Vaksin bukan sahaja dapat melindungi diri sendiri, tetapi juga dapat melindungi orang lain. Jika bilangan individu yang telah mendapat vaksin untuk sesuatu penyakit dalam sebuah komuniti ramai iaitu melebihi 90 peratus, maka bilangan individu yang menjadi pembawa akan tinggal terlalu sedikit untuk menyebarkan penyakit kepada orang lain.

Ini bermakna, individu yang mendapat vaksin juga secara tidak langsung dapat melindungi orang sekeliling yang belum atau tidak boleh mengambil vaksin itu seperti bayi,” katanya.

Mengenai kesan sampingan vaksin, Che Ilina menjelaskan, secara umumnya, kesan sampingan vaksin adalah sangat ringan. Kesan ini disebabkan oleh tindak balas sistem imun badan yang bekerja keras untuk menghasilkan antibodi dan sel memori hasil daripada rangsangan vaksin.

Antara gejala yang sering dilaporkan ialah sakit, bengkak dan kemerahan di tempat suntikan, demam ringan, rasa keletihan, sakit kepala dan sakit badan.

“Vaksin hanyalah salah satu cara untuk mencegah Covid-19 tetapi cara-cara lain untuk pencegahan seperti kerap membasuh tangan, memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal perlu terus diamalkan untuk melindungi kita dan orang-orang tersayang,” pesannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN