BATU PAHAT – Ahli keluarga kepada pelajar tingkatan enam sebuah sekolah di sini yang dilaporkan hilang selepas keluar rumah Rabu lalu merayu agar remaja itu dipulangkan segera.
Ibu pelajar itu, Muzlinah Mohammed, 43, berkata, Nurul Suhada Jalal, 19, seorang anak yang taat kepada keluarga selain tidak pernah keluar rumah di sini seorang diri kecuali ke sekolah.
“Saya pelik apakah perkara yang mempengaruhi dia sehingga menyebabkannya berani melakukan tindakan seperti itu.
“Kepada mereka yang mungkin ada ‘menyimpan’ Suhada, pulangkanlah dengan sebaik-baiknya ke pangkuan keluarga.
“Manakala untuk Suhada, pulanglah nak kerana ibu terlalu risaukan keselamatan kamu malah berendam air mata apabila memikirkan,” katanya di sini.
Menurut Muzlinah, dia dan suaminya berulang-alik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat beberapa kali kelmarin kerana mahu mengetahui hasil pencarian anak ketiga daripada empat adik beradik itu.
Katanya, walaupun hampa mereka sekeluarga tetap menyimpan keyakinan Suhana akan dapat ditemui dengan selamat dan secepat mungkin.
“Biarpun tiada sebarang petunjuk yang boleh dijadikan asas pencariannya, namun saya yakin ada seseorang yang mempengaruhinya sehingga sanggup keluar rumah seperti ini,” katanya.














