fbpx
Tugas sebagai pengelola sesi penstriman langsung kejohanan e-sukan datang dengan cabaran tersendiri.

K2

Firdaus ‘FuZe’ mahu persepsi negatif e-sukan tak berfaedah dikikis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LAZIMNYA, apabila bercakap tentang acara e-sukan atau sukan elektronik, apa yang terbayang di minda adalah barisan pemain yang bertarung antara satu sama lain bagi merebut gelaran juara atau mencipta nama dalam genre sukan disertai.

Begitu pun, cabang e-sukan yang luas turut melibatkan tugas dan peranan penting mereka yang di belakang tabir seperti pengurus acara, produser atau soundman, dalam menjayakan sesebuah acara atau kejohanan sukan elektronik itu.

Acara penstriman langsung kejohanan e-sukan mempunyai ciri unik seperti paparan skrin berwarna-warni, grafik dan audio berkualiti tinggi yang menyerlah pengalaman menonton sesi tersebut.

Berkongsi cerita sebagai petugas belakang tabir e-sukan negara, Mohamad Firdaus Hakimi atau lebih dikenali sebagai Firdaus ‘FuZe’, 30, yang berperanan mengelola sesi penstriman langsung dan menyedikan sistem bunyi serta grafik berkata, dia seronok apabila dapat menyumbang kepakarannya dalam memajukan lagi industri e-sukan negara ke peringkat lebih tinggi.

Firdaus ‘FuZe’ yang merupakan Eksekutif Pembangunan Perniagaan dan Pengurus Projek bagi organisasi e-sukan profesional MAQNA Electronic Sports Club (MAQNA eSports) memberitahu, minatnya terhadap e-sukan bermula sekitar tahun 2018, ketika dia masih menuntut di Universiti Teknikal Malaysia Melaka.

“Ketika itu, saya ada menyertai beberapa tournament luar universiti memandangkan saya mempunyai ramai kenalan dalam bidang ini.

“Saya turut terlibat dalam beberapa acara e-sukan yang dianjurkan di sekitar Melaka sehinggalah saya bergraduasi pada tahun 2020,” katanya.

Selepas tamat belajar, Firdaus ‘FuZe’ bekerja sebagai juruteknik di sebuah kedai komputer di Melaka, selain turut terlibat secara freelance bagi acara siaran langsung permainan e-sukan.

Namun, dia kemudiannya terpaksa berhenti kerja dan pulang ke kampung halaman untuk menjaga kedua-dua ibu bapanya, sebelum takdir membawanya kembali ke bidang e-sukan bersama satu tanggungjawab besar.

Firdaus ‘FuZe’ sama sekali tidak menyangka diberi kepercayaan untuk menjayakan acara Hari Sukan Negara Kebangsaan 2022 yang dianjurkan di Putrajaya.

“Ketika itu, saya ada juga melakukan beberapa kerja freelance di kampung. Tidak sangka saya dihubungi oleh pihak Malaysian ESports Federation (MESF) yang meminta saya mengendalikan sembilan jenis permainan sukan elektronik, melibatkan sekitar 40 orang staf.

“Daripada situlah, saya berkenalan dengan syarikat pengurusan acara MAQNA Momento Sdn. Bhd. yang mana sekarang saya bertugas selaku pengurus projek dan mengetuai bahagian e-sukan bagi organisasi itu,” katanya yang merupakan anak kelahiran Kuala Terengganu.

Firdaus ‘FuZe’ menambah, MAQNA terdiri daripada tiga buah divisyen iaitu Electronic Arts Football Club (EAFC24), Playerunknown’s Battlegrounds Mobile (PUBGM) dan eFootball Mobile.

Selain menyiarkan siaran langsung dan kandungan kreatif mengenai e-sukan, organisasi itu turut menguruskan sekitar 50 orang atlet e-sukan di bawah MAQNA serta menghasilkan cenderamata kepada peminat dan penyokong industri itu.

Antara acara yang dianjurkan termasuk ACS Edu Tour Grand Final 2024 yang menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Largest Varsity Esports Tournaments dan Dashing

PUBGM Cup 2024 yang juga menerima pengiktirafan MBOR sebagai Longest PUBG Esports Tournaments (32 jam tanpa henti).

Firdaus semasa terlibat sebagai pengurus pentas bagi acara tournament Mountain Dew PUBGM Dew Challenge 2023 yang dianjurkan di Depoh Sentul, Kuala Lumpur.

Biarpun tidak terlibat sebagai pemain yang bertarung dalam kejohanan e-sukan, graduan bidang sains komputer itu berkata, kerjayanya di belakang tabir datang dengan cabaran tersendiri.

“E-sukan merupakan satu bidang baharu dan belum matang sepenuhnya. Selain itu, game yang dihasilkan juga tertakluk kepada pengeluar atau publisher.

“Ini bermakna seandainya pihak publisher memutuskan untuk menamatkan atau mengeluarkan siri game itu daripada aplikasi, maka apa sahaja yang dirancang untuk game itu tadi akan terbatal secara automatik dan ini melibatkan pemain yang mungkin sudah mencipta nama dalam permainan itu,” kongsinya yang menyifatkan cabaran sedemikian boleh menyekat potensi pemain

berbakat yang mahu menyinar di peringkat antarabangsa.

Firdaus menambah, bajet yang besar diperlukan untuk meneruskan industri ini, menjadikan dia yang terlibat dalam industri, menanam harapan supaya industri itu boleh ditambah baik pada masa akan datang.

“Saya berharap agar industri akan lebih memberi tumpuan kepada pembangunan e-sukan negara daripada akar umbinya, seperti mencari pemain pelapis dan event organizer yang hebat, bagi membolehkan kami bersama-sama menaikkan lagi industri e-sukan ini ke peringkat lebih tinggi,” jelasnya.

Mengakhiri bicara, Firdaus ‘FuZe’ berkata bidang e-sukan menjanjikan banyak peluang kerjaya di belakang tabir, menjadikan ia satu bidang yang peru diterokai sesiapa sahaja, khususnya generasi muda.

“Harapan saya lagi adalah ibu bapa atau sesiapa saja boleh mengubah persepsi negatif berkenaan aktiviti e-sukan sama ada bermain game atau menonton pertarungan, yang sering dianggap tidak berfaedah.

“Ini kerana bidang ini terbukti menjanjikan pelbagai peluang kerjaya belakang tabir, yang membantu menyemarakkan landskap industri e-sukan,” tuturnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN