fbpx
KEADAAN terkini banglo milik Mohd. Yazid yang semakin terhakis akibat fenomena air pasang. – PUQTRA HAIRRY ROSLI

Mahligai cinta akhirnya ditinggalkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA NERUS – Banglo bernilai RM600,000 yang menjadi lambang cinta seorang suami kepada arwah isterinya di Kampung Tanjung, Batu Rakit di sini semakin teruk terhakis dan mungkin gagal untuk diselamatkan ekoran fenomena air pasang yang semakin besar.

Pemilik banglo tersebut, Mohd. Yazid Idris, 66, berkata, dia juga semakin buntu untuk memikirkan kaedah terbaik menyelamatkan kediaman itu memandangkan semua usaha yang dilakukan setakat ini tidak menunjukkan hasil yang diharapkan.

Katanya, dia dengan bantuan pelbagai pihak sudah melakukan pelbagai usaha termasuk membina benteng dan menambak tebing rumah dengan guni pasir untuk mengurangkan impak ha­kisan sejak awal November lalu.

“Dua hari lalu, penduduk kampung datang bergotong-royong membantu membina benteng yang lebih kuat menggunakan jentera pengorek.

“Bagaimanapun, semua itu tidak berjaya menahan amukan ombak ganas yang berlaku malam semalam (kelmarin). Ini kerana, ombak kali ini lebih tinggi berbanding benteng yang kami bina sebelumnya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tanjung, Batu Rakit di sini semalam.

Kosmo! pada Sabtu lalu melaporkan, Mohd. Yazid dengan bantuan anak perempuan dan menantunya membanting tulang­ membina benteng daripada guni pasir bagi menyelamatkan ­bang­lo mereka yang sedang di­ancam hakisan pantai.


MOHD. YAZID cuba menambak kawasan tepi banglo mereka dengan guni pasir baru-baru ini.

Banglo yang didirikan de­ngan wang persaraan RM600,000 pada 2018 itu amat bererti buat Mohd. Yazid kerana ia dibina sebagai tanda cinta terhadap arwah isterinya, Siti Rashidah Mohd. Yunus yang meninggal dunia akibat kanser usus pada enam tahun lalu.

Mohd. Yazid berkata, feno­mena air pasang terbaharu telah menyebabkan sebahagian struktur lantai tiang banglo dan ­gazebonya dihanyutkan ombak ke dalam laut.

Katanya, perkembangan itu menyebabkan dia bersama anak dan menantu tidak lagi dibenarkan menetapkan di banglo tersebut yang kini disahkan sudah tidak selamat diduduki.

“Memang susah hati kerana banglo ini sangat banyak kena­ngan kepada hidup saya. Namun, saya kena reda dan akur dengan kekangan dihadapi pihak ber­kuasa kerana memang sukar untuk melawan kuasa alam.

“Jauh di sudut hati, saya berharap semuanya akan kembali reda selepas fenomena ombak besar ini berakhir.

“Apa yang penting, saya berharap pihak berkuasa dapat menyegerakan benteng pemecah ombak yang lebih kukuh untuk­ penyelesaian jangka masa ­panjang,” katanya.

Sebelum ini, tular mengenai perkongsian seorang individu yang memaparkan sebuah banglo di tepi pantai di Kampung Tanjung, Batu Rakit yang tebingnya terhakis teruk akibat fenomena air pasang besar.

Individu berkenaan turut berkongsi video memaparkan ­jarak banglo itu yang terletak jauh dari pantai sebelum berlakunya hakisan.

Ada yang mengatakan rumah tersebut masih boleh diselamatkan dan mencadangkan supaya tebing yang terhakis ditambak bagi mengelakkan ia bertambah teruk.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN