MENYAKSIKAN persembahan secara langsung di kaca televisyen atau gajet sudah dianggap sebagai satu perkara biasa dalam era serba moden ini. Biarpun terpisah jauh dek jurang geografi, namun semua itu tidak menjadi halangan dengan wujudnya teknologi.
Penggunaan sistem satelit memberikan kelebihan dalam sistem komunikasi dengan berfungsi sebagai penyebaran maklumat yang dapat dibuat secara menyeluruh tanpa batas.
Begitu juga program televisyen yang bersiaran secara langsung di kaca televisyen (TV). Biarpun tidak berada di lokasi acara, namun penonton tetap berpeluang menikmati pengalaman seperti menyaksikan program tersebut di depan mata.
Bercakap tentang program hiburan, Gegar Vaganza (GV) boleh dikatakan rancangan televisyen popular yang saban tahun menjadi tumpuan dan sering dinanti-nantikan penonton di negara ini.
K-Tekno pada minggu ini mengupas mengenai teknologi di sebalik pementasan GV musim terbaharu yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor sehinggalah bagaimana ia dapat sampai ke kaca TV penonton.
Menurut Penyelia Penerbit Eksekutif & Pengarah Gegar Vaganza, Shaharuddin Mokhtaruddin, secara asasnya penggunaan sistem DSNG atau Digital Satellite News Gathering (Unit Pengumpulan Berita Satelit Digital) menjadi pilihan stesen TV dalam melakukan siaran langsung iaitu program yang bersiaran pada masa sama program berlangsung.
DSNG merupakan unit mudah alih yang dilengkapi pemancar dan penerima audio bersama video dua hala selain menggunakan antena piring diarah ke satelit geostasionari.
“Kaedah ini merupakan pendekatan popular yang digunakan oleh stesen televisyen dalam memastikan program siaran langsung dapat dijalankan.
“Memandangkan kami bersiaran secara mingguan iaitu pada hari Ahad, pemeriksaan talian (line check) akan dibuat sebanyak dua kali iaitu sehari sebelum acara dan pada hari kejadian.
“Tujuan line check diadakan bagi memastikan kualiti audio dan visual yang dipancarkan berada dalam keadaan baik oleh bilik kawalan di ibu pejabat atau presentation suite,” katanya ketika ditemui K-Tekno baru-baru ini.
DSNG mula diperkenalkan sekitar 2000-an iaitu apabila kru televisyen akan membawa trak atau van ke lokasi untuk membuat liputan.
Dalam konteks GV (Gegar Vaganza), van DSNG akan berada di luar auditorium, namun berhampiran dengan lokasi acara pada kedudukan dianggarkan kurang 80 meter. Jarak yang dekat dengan acara berlangsung memainkan peranan penting bagi mengelakkan gangguan talian berlaku.

Beberapa anggota diperlukan untuk mengendalikan kenderaan tersebut iaitu melibatkan pemandu dan jurutera teknikal (transmission engineer).
Mengenai aspek pementasan atau visual di atas pentas pula, pengendali LED (diod pemancar cahaya) GV, Mohd. Fareez Sulaiman berkata, visual atau grafik yang ditayangkan di atas pentas dibuat menggunakan aplikasi yang dinamakan Resolume Arena.
“Pihak MCP (penerbitan multikamera) akan menentukan jenis atau konsep visual bergerak untuk disesuaikan dengan penceritaan dan persembahan penyanyi.
“Menerusi aplikasi Resolume Arena ini juga membantu pengendali untuk menayangkan visual yang diambil dari kamera dan dipancarkan terus ke skrin LED. Secara keseluruhannya, perkara yang melibatkan tayangan di LED skrin akan menggunakan aplikasi Resolume Arena,” jelasnya.
Bagi memudahkan peralihan visual dibuat, mesin matrix switches atau Blackmagic ATEM iaitu suis matriks akan digunakan untuk dipancarkan ke skrin plasma (skrin kecil yang berada di tempat penonton) dan skrin LED.
“Segala arahan akan ditentukan oleh penerbit yang berada di bilik kawalan utama (master control room). Penerbit akan menentukan visual tayangan kamera sama ada dipancarkan di skrin LED atau plasma.
“Setelah arahan diterima, saya akan menggunakan Blackmagic ATEM untuk menentukan visual mana yang akan ditayangkan di skrin. Skrin monitor juga dibekalkan kepada saya bagi memantau visual kamera yang digunakan sewaktu siaran langsung berjalan,” katanya.
Mengenai Blackmagic ATEM, mesin tersebut berfungsi sebagai penukar pengeluaran langsung profesional yang membolehkan pertukaran lancar antara berbilang input video. Ia direka untuk digunakan dalam acara langsung, seperti konsert, persidangan dan rancangan televisyen.
Secara keseluruhannya, GV musim ke-11 ini secara asasnya melibatkan penggunaan lapan unit kamera bagi memastikan penonton mendapat visual persembahan yang memuaskan.

Pengurus Teknikal Firman Firdaus Minhad berkata, segala kandungan siaran melibatkan audio dan visual akan ditentukan oleh pasukan bilik kawalan utama (MCR) atau master control room di lokasi.
Firman menjelaskan, pengarah akan memberi arahan kepada jurusuis dalam menentukan siaran kamera yang akan dipaparkan di televisyen.
Sementara itu katanya, pengendali Sensor Visi Berasaskan Acara (EVS) dipertanggungjawabkan mencipta dan menyediakan siaran ulangan gerakan perlahan dan ultraperlahan serta grafik segera sambil menghasilkan pakej sorotan secara langsung untuk penyiaran televisyen.
Seorang pereka grafik akan turut berada di dalam bilik kawalan yang dipertanggungjawabkan untuk menentukan logo penaja dan grafik persembahan artis.
“Pengendali EVS bertanggungjawab untuk memainkan visual temu bual yang telah dibuat sebelum persembahan artis. Selalunya, sebelum artis mula persembahan, kita akan memainkan visual atau playback untuk ditayangkan.
“Jurusuis yang dipertanggungjawab untuk menukar pilihan kamera yang akan ditayangkan di televisyen, sementara tanggungjawab grafik dalam menyiarkan visual grafik seperti logo penaja.
“Kemudian, unit kawalan kamera (CCU) pula akan dipertanggungjawabkan untuk memastikan warna kamera itu seimbang. Program ini bersiaran dengan menggunakan lapan unit kamera, jadi mereka perlu memastikan setiap pencahayaan itu seimbang dan berkualiti untuk ditayangkan kepada penonton,” katanya.
Jelas Firman, perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah keadaan mesin engineering wrap yang berfungsi seperti ‘otak’ dan penyambung kepada keseluruhan sistem yang digunakan produksi untuk tujuan tayangan siaran langsung.
Suhu di dalam bilik kawalan perlu berada pada tahap rendah antara 15 hingga 25 darjah Celsius. Keadaan suhu yang rendah ini bertujuan mengelak daripada mesin berada dalam keadaan panas dan mengganggu program siaran langsung berjalan.
Selain teknologi penyiaran siaran langsung, pihak produksi turut melakukan peralihan terhadap penggunaan kamera daripada jenis Jimmy Jib (kamera seperti kren) kepada Spidercam.
Gajet tersebut sudah digunakan sejak siaran GV musim keenam.
Bukan sahaja memberikan pengalaman panorama yang lebih luas, penggunaan Spidercam turut dapat menjimatkan ruang sekali gus dapat memaksimumkan jumlah penonton.
“Sebelum ini memang kami menggunakan Jimmy Jib, tetapi agak merugikan apabila kita perlu mengalihkan sekurang-kurangnya 20 hingga 30 buah kerusi semata-mata untuk menyediakan asas kamera itu.
“Disebabkan tidak mahu kekurangan penonton, jadi penggunaan Spidercam dijadikan sebagai alternatif terbaik untuk mengatasi masalah visual dari tempat tinggi.
“Sebanyak dua kabel panjang akan digunakan bagi membantu pergerakan kamera ke depan, belakang termasuk melakukan putaran 360 darjah. Kamera ini juga mampu melakukan pergerakan dengan cepat dan perlahan, selain sesuai untuk digunakan bagi acara seperti konsert dan pertandingan bola sepak,” terangnya.
Menjadi tanggungjawab Firman untuk juga memastikan ‘suapan’ yang telah ditetapkan dapat diterima oleh bilik kawalan sekali gus melakukan siaran secara menyeluruh kepada isi rumah.
Disebabkan itu pemantauan terhadap kualiti talian amat penting bagi mengelakkan sebarang gangguan atau kegagalan isyarat yang dikhuatiri akan menjejaskan proses siaran langsung berjalan.
“Tanggungjawab kami di lapangan adalah untuk memastikan talian berada dalam keadaan baik. Biarpun bersiaran secara langsung pada pukul 9 malam, tetapi program akan bermula 5 minit awal demi tujuan pemeriksaan keselamatan siaran.
“Saya akan memastikan pasukan satelit akan menerima kandungan seperti yang sudah ditetapkan oleh MCR. Semua kandungan akhir (final output) yang telah ditetapkan oleh bilik kawalan akan dihantar ke trak satelit atau trak DSNG.
“Kemudian kandungan tersebut akan dihantar ke satelit sebelum diterima oleh pihak ibu pejabat di Astro Bukit Jalil. Setelah data diterima dan disahkan, pihak ibu pejabat kemudian akan menghantar semula kandungan tersebut ke satelit untuk dipancarkan kepada isi rumah,” terangnya.
Meskipun tahap kecanggihan teknologi dilihat mampu mengatasi halangan-halangan terhadap proses siaran langsung, namun terdapat juga kekangan lain yang mampu beri masalah gangguan teknikal.
Tambahnya, kegagalan fungsi mesin seperti kamera berkemungkinan akan menjadi antara cabaran sekali gus memberi kesan terhadap kualiti siaran.
“Bekerja dengan mesin ini juga akan memberikan cabaran sekiranya berlaku kerosakan atau kegagalan fungsi.
“Sebagai contoh sekiranya kamera mengalami masalah gangguan warna dan perlu diperbaiki, saya akan maklumkan kepada bilik kawalan tentang masalah berlaku.
“Paling penting ialah membuat persediaan rapi terhadap sebarang kemungkinan yang akan berlaku.
“Bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, kamera ganti telah tersedia dan saya akan pastikan masalah itu boleh diselesaikan dalam masa lima minit,” ujarnya.














