JENAMA kereta Xpeng mungkin masih jarang didengari di negara ini kerana jenama automotif itu agak baharu di pasaran China.
Bagaimanapun, kecanggihan dan reka bentuk menarik kenderaan elektrik (EV) yang ditawarkan menjadikan Xpeng pilihan terbaik.
Untuk makluman, Xpeng ditubuhkan oleh Henry Xia iaitu seorang usahawan yang bergabung tenaga dengan bekas Pengarah Eksekutif Guangzhou Automobile Group Co. Ltd. (GAC), He Tao dan
Pengasas Xiaomi, Lei Jun untuk menghasilkan EV.
Jenama yang diasaskan pada 2014 itu merupakan pembuat kereta terkemuka China bagi Smart EV.
Jenama itu membuat reka bentuk, membangun, mengeluarkan dan memasarkan EV.
Bermaz Xpeng Sdn. Bhd. sebagai pengedar rasmi jenama Xpeng di Malaysia telah memperkenalkan jenama itu dengan pelancaran kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik sepenuhnya, Xpeng G6 pada Ogos tahun lalu.
SUV coupe G6 itu ditawarkan dalam dua varian untuk pasaran tempatan iaitu 580 Pro yang dijual pada harga RM165,000 dan 755 Pro, RM185,000.
Penulis tertarik dengan rekaan Xpeng G6 yang menampilkan elemen futuristik minimalis dengan imej maskulin melalui sisi badan berkontur.
Xpeng G6 menggunakan rekaan bumbung fastback, pintu tanpa rangka sisi seperti kereta sport, lampu depan serta belakang LED melintang dengan logo X. Lebih menyerlahkan lagi G6 adalah warna terang Fiery Orange yang sinonim dengan Xpeng. Setiap kali meluncur di jalan raya, orang boleh meneka model kereta dengan hanya melihat warna badannya.
Selain itu, G6 hadir dalam warna Midnight Black, Silver Frost, Artic White dan Graphite Gray.
Model ini berukuran 4,753 milimeter (mm) panjang, 1,929 mm lebar, 1,650 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,890 mm.
G6 memiliki ruang penyimpanan barangan di belakang berkapasiti 571 liter dan boleh ditingkatkan hingga 1,374 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan.
Xpeng G6 dibina di atas platform SEPA 2.0 dengan seni bina 800 voltan.
Bagi varian 580 Pro, ia dikuasakan oleh bateri Lithoum Iron Phosphate (LFP) 66 kilowatt jam (kWh) menghasilkan sehingga 255 hp dan 440 Nm tork.
Varian ini mampu menempuh jarak sehingga 435 kilometer dengan sekali cas penuh. Ia mampu mencapai kelajuan maksimum 200km/j dan pecutan dari pegun ke 100km/j dalam hanya 6.6 saat.
Bagi mereka yang mencari jarak perjalanan dan kuasa lebih besar, varian 755 Pro dilengkapi dengan bateri Nickel Manganese Cobalt (NMC) 87.5 kWh menghasilkan 282 hp dan 440 Nm tork.

G6 755 Pro menawarkan jarak perjalanan sehingga 570 km dengan kelajuan maksimum 200 km/j. Varian ini boleh memecut dari pegun ke 100 km/j dalam 6.2 saat. Kedua-dua varian menyokong pengecasan pantas DC dengan 580 Pro menawarkan sehingga 215 kW dan 755 Pro sehingga 280 kW.
Ini membolehkan bateri dicas dari 10 ke 80 peratus dalam hanya 20 minit. Meninjau ke ruang kabin, Xpeng G6 menawarkan pengalaman mewah yang mesra alam dengan pilihan skema warna
hitam atau kelabu.
Bahagian tempat duduk mempunyai pengudaraan dan pemanasan untuk pemandu serta penumpang hadapan. Ia juga memiliki pelarasan kuasa enam arah serta sokongan lumbar empat arah.
Kabin ini dilengkapi dengan pad pengecasan tanpa wayar berkembar 50W setiap satu, pendingin hawa automatik dua zon dan sistem pembersihan udara XFreeBreath untuk memastikan udara di dalam kabin bersih.
Bahagian dalam pula memaparkan skrin beresolusi tinggi bersaiz 14.96 inci, papan pemuka digital 10.2 inci dan sistem audio surround XOpera dengan 18 pembesar suara.
Pembesar suara ini memberikan pengalaman bunyi yang mengasyikkan yang menjana sehingga 960 watt.
Dari segi keselamatan, G6 dilengkapi sistem bantuan pemandu XPILOT 2.5.
Sistem canggih ini termasuk ciri seperti Adaptive Cruise Control (ACC) dengan Stop & Go, Lane Centering Control (LCC), Active Lane Change (ALC), dan Enhanced Auto Parking Assist (EAP 2.0).
Sistem ini juga menyokong Auto Exit Parking Assist (AEP) melalui aplikasi mudah alih Xpeng. Ini termasuk ciri-ciri seperti Driver State Monitoring (DSM), Autonomous Emergency Braking (AEB) dan
Blind Spot Detection (BSD), selain ciri keselamatan standard termasuk tujuh beg udara dan Electronic Child Lock (ECL).
Sebagai konklusi, penulis melihat jenama Xpeng mempunyai aspirasi untuk mencipta EV idaman untuk generasi muda menerusi reka bentuk luaran teguh, anggun dan bergaya.
Teknologi canggih dengan konsep kereta estetika yang sedikit berlainan berbanding EV buatan China lain di pasaran menjadikan Xpeng pilihan baharu pengguna.














