“IDEA untuk membangunkan Cityscape datang daripada pengalaman peribadi pekerja Inference yang majoritinya pernah memandu di jalan berlubang sehingga hampir menyebabkan kemalangan,” kata Izad Che Muda sewaktu ditemui K2 baru-baru ini saat memulakan bicara.
Cityscape merupakan satu sistem untuk mengesan pelbagai kerosakan jalan menggunakan kamera papan pemuka (dashcam) pada kenderaan yang dipacu berasaskan teknologi Kecerdasan Buatan (AI). Ia dibangunkan sekumpulan anak muda daripada syarikat penyedia solusi AI, Inference Tech Sdn. Bhd. (Inference) pada tahun lalu.
Menerusi sistem yang boleh dimanfaatkan pihak berkuasa tempatan mahupun syarikat pemegang konsesi pembaikan jalan itu, pelbagai masalah berhubung jalan meliputi jalan berlubang, permukaan retak, masalah papan tanda boleh dikesan tidak kira di lebuh raya mahupun jalan-jalan biasa.
Sejak dahulu lagi, masalah kerosakan jalan sering menjadi isu utama dalam kalangan masyarakat di negara ini. Lebih menyedihkan apabila struktur jalan yang berlubang itu menyebabkan berlakunya kemalangan sehingga ada yang meragut nyawa.

Memetik laporan akhbar pada 6 Januari lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 223 kemalangan di Selangor berpunca daripada keadaan fizikal jalan raya termasuk jalan berlubang serta rosak sepanjang tahun 2018 hingga 2020.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berdasarkan statistik diperolehi, daripada jumlah tersebut, 148 kemalangan menyebabkan kematian.
Biarpun pihak-pihak bertanggungjawab telah dilantik menjalankan tugas penyelenggaraan dan membaiki struktur jalan di negara ini, namun ia masih belum mampu mengatasi masalah tersebut secara keseluruhan.
Tambahan pula kaedah manual masih digunakan untuk mengesan struktur jalan bermasalah di negara ini. Bukan sahaja mengambil masa agak panjang, malah kebarangkalian untuk terlepas pandang struktur jalan yang memerlukan baik pulih juga tinggi.
Inspirasi Tesla
Mendapat inspirasi daripada teknologi autopilot yang diguna pakai kenderaan pandu sendiri Tesla, menurut Izad yang merupakan ketua pegawai eksekutifnya, Inference berjaya membangunkan teknologi mengesan jalan berlubang yang mencapai ketepatan sebanyak 95 peratus.
“Inspirasi untuk membangunkan teknologi ini datang daripada teknologi autopilot yang diguna pakai oleh Tesla. Syarikat pembuat kereta tersebut menggunakan teknologi AI untuk membolehkan kereta ciptaannya bergerak tanpa pemandu.
“Menggunakan teknologi itu, Tesla dipacu oleh beberapa kamera yang mampu mengesan lorong, pejalan kaki, lampu isyarat dan juga kenderaan lain.
“Berbeza dengan Tesla, teknologi AI yang kami gunakan pada Cityscape adalah untuk mengesan masalah pada jalan seperti jalan berlubang, permukaan retak, masalah papan tanda, pengukuran bahu jalan dan lain-lain lagi lengkap bersama lokasi,” katanya.

Terang Izad, umum mengetahui syarikat pemegang konsesi pembaikan jalan raya dan pihak berkuasa tempatan diberi tanggungjawab memeriksa dan menyelenggara jalan raya di negara ini.
“Sebelum teknologi automasi Cityscape dibangunkan, pihak-pihak tersebut terpaksa mengganggu kelancaran trafik setiap kali mereka mahu mengesan kerosakan jalan raya.
“Bukan itu sahaja, proses pembaikan jalan raya masih melibatkan kerja-kerja manual yang mengambil masa yang lama untuk diselesaikan.
“Sebagai contohnya, pihak-pihak tersebut perlu meronda jalan raya dan mengenal pasti kerosakan secara berkala.
“Malah, pihak tersebut terpaksa memberhentikan kenderaan dan merakam gambar secara manual menggunakan kamera telefon pintar atau kamera DSLR. Kebiasaannya, proses itu mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu untuk tindakan selanjutnya diambil,” katanya.
Begitupun dengan penggunaan dashcam yang dipacu teknologi AI Cityscape, mereka tidak perlu lagi memberhentikan kenderaan dan mengambil gambar secara manual.
Sebaliknya, semua itu boleh dilakukan di dalam kenderaan bergerak menggunakan dashcam.
Hasilnya, kerja-kerja pengesanan jalan berlubang oleh pihak tersebut bukan sahaja lebih cepat dan mudah, malah tidak menganggu kelancaran trafik.
Ujarnya lagi, dalam usaha membangunkan teknologi tersebut, seramai empat orang jurutera perisian terlibat. Mereka mengambil masa selama enam bulan untuk membangunkan teknologi Cityscape menggunakan kamera dashcam sedia ada di pasaran.
“Kami turut menghasilkan sendiri kamera dashcam Cityscape. Bagaimanapun, kamera tersebut masih dalam status prototaip dan dijangka diguna pakai dalam masa terdekat,” katanya.
Sepanjang enam bulan itu juga, Inference berjaya membuat uji kaji di daerah-daerah utara Selangor dengan bantuan syarikat pemegang konsesi pembaikan jalan di daerah-daerah tersebut.
Berdasarkan data yang dikumpul semasa implementasi projek percubaan di utara Selangor, Inference mendapati Cityscape mampu menyumbang kepada peningkatan produktiviti kira-kira 80 peratus.

Ini dicapai hasil daripada proses mengenal pasti kerosakan dan laporan secara automatik.
“Kerosakan jalan raya dikenal pasti secara automatik menerusi kamera papan pemuka dan gambar kerosakan akan dimuat naik ke dalam sistem Cityscape secara dalam talian.
“Gambar yang direkodkan itu kemudian dihubungkan ke skrin-skrin di pusat kawalan keselamatan PBT atau syarikat konsesi tersebut.
“Selain itu, sistem Cityscape mampu mengeluarkan laporan secara automatik mengikut format ditentukan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri,” katanya.
Bukan itu sahaja, sistem Cityscape juga boleh memantau aduan-aduan pengguna jalan raya di media sosial terutamanya di Facebook dan Twitter.
Pihaknya juga membangunkan aplikasi-aplikasi yang boleh digunakan oleh orang awam untuk membuat aduan agar berlaku hubungan timbal balik antara pengguna dan PBT atau syarikat konsesi terlibat dalam usaha untuk memulihkan jalan secara bersama.
“Dengan adanya teknologi ini, aduan-aduan tersebut akan dimajukan kepada pihak berkenaan secara pantas dan lebih efisien. Sasaran kami pada tahun ini untuk membekal teknologi Cityscape di sekurang-kurangnya dua negeri di Semenanjung Malaysia,” katanya.
















