fbpx
Seramai 402,956 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2024 melibatkan 3,337 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Ke mana ‘hilangnya’ 10,000 calon SPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PEPERIKSAAN bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru memasuki minggu kedua. Ini bermakna ada empat minggu lagi sebelum SPM sesi 2024 berakhir pada 6 Februari depan.

Di Malaysia, SPM dianggap peperiksaan awam paling besar bagi seorang pelajar. SPM juga sering dijadikan penanda aras dalam mengukur sistem pendidikan negara.

Sekitar tahun 1980-an dahulu, ramai anak-anak dari kawasan kampung dan pedalaman berebut-rebut untuk mendapatkan sekeping sijil SPM. Walaupun keputusan yang dicapai tidak membanggakan, kejayaan menamatkan persekolahan dengan peperiksaan SPM sudah memberi satu nikmat yang cukup besar.

Bagi mereka, SPM bukan sekadar peperiksaan, tetapi ia adalah tiket yang membuka peluang kepada mereka dalam dunia pekerjaan terutama untuk menjadi ‘orang gomen’.

Malah pada Ogos tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan bahawa kelayakan minimum untuk memasuki perkhidmatan awam telah
di­tingkatkan kepada SPM atau yang setara dengannya.

Ini bermakna, SPM itu bukan peperiksaan biasa-biasa. SPM juga tidak boleh dipandang mudah sehingga ada yang mempertikaikan kredibilitinya.

Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan satu berita yang sangat menyedihkan. Dianggarkan kira-kira 10,000 calon SPM di seluruh negara dilaporkan tidak hadir untuk menduduki kertas bertulis Bahasa Melayu.

Harus diingat bahawa mata pelajaran Bahasa Melayu merupakan mata pelajaran wajib lulus untuk seseorang calon itu mendapatkan sijil SPM. Dan kegagalan mereka (menduduki kertas BM) hanya akan memberi kesan kepada masa depan.

Persoalan kini, ke mana ‘hilangnya’ 10,000 calon SPM ini dan siapa yang harus dipertanggungjawab? Atau adakah calon-calon ini mempunyai alasan tertentu yang menyebabkan mereka tidak dapat menduduki SPM.

Secara dasar, pelbagai alasan memang boleh dikaitkan dengan ketidakhadiran calon-calon ini. Antara alasan biasa adalah dikaitkan dengan faktor kesihatan calon berkenaan.

Mungkin ada yang mengalami penyakit serius atau kea­daan yang menyukarkan untuk mereka hadir. Mungkin ada juga yang baharu ditimpa kecelakaan seperti kemalangan.

Konflik dalam keluarga juga sering dijadikan alasan untuk mereka tidak hadir. Benar, tidak semua calon-calon SPM datang dari keluarga yang sempurna dan bahagia. Ada juga yang melalui hari sedih dengan kehilangan orang tua pada hari peperiksaan sehingga menghalang mereka untuk hadir ke sekolah.

Alasan paling popular yang sering dibangkitkan ketika ini adalah hilangnya minat calon-calon berkenaan kepada pendidikan. Ini bermaksud, ada pelajar yang memilih untuk bekerja berbanding memikirkan soal peperiksaan.

Bagaimanapun, tindakan untuk bekerja itu pula perlu dilihat daripada pelbagai sudut. Ada calon yang terpaksa bekerja sehingga melupakan peperiksaan SPM atas dasar tanggungjawab kepada keluarga.

Diakhirnya, kita sebagai masyarakat hanya mampu melihat betapa cabaran hidup ketika ini telah ‘membunuh’ cita-cita besar ramai anak-anak muda. Kebanyakan daripada mereka ini tidak mempunyai pilihan dan tersepit dicelah-celah persaingan antara hidup dan mati.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN