GEORGE TOWN – Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman menempelak tindakan individu Muslim yang menghadiri konsert hiburan pada malam tahun baharu sehingga mengundang aktiviti yang tidak bermoral.
Katanya, umat Islam sepatutnya menggantikan aktiviti malam tahun baharu dengan solat, zikir dan muhasabah diri daripada terjebak dengan perkara-perkara kemaksiatan.
“Sebagai Muslim amat dianjurkan untuk mengutamakan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah. Menghadiri konsert hiburan yang penuh dengan maksiat bukan sahaja boleh mengurangkan keimanan, tetapi juga mengundang kemurkaan Allah.
“Hiburan dibenarkan dalam Islam selagi tidak bertentangan dengan syariat, namun konsert hiburan yang melibatkan percampuran lelaki dan wanita tanpa batas, suasana yang melalaikan, serta perbuatan seperti menari bebas di hadapan umum adalah haram dan tidak dibenarkan dalam Islam.
“Sebaiknya, isi malam tersebut dengan aktiviti yang mendekatkan diri kepada Allah dan memperbaiki diri untuk masa hadapan,” katanya di sini semalam.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan dua lelaki dan dua wanita tempatan yang maut selepas menghadiri konsert Pinkfish di Bandar Sunway, Selangor ketika meraikan ambang tahun baharu Selasa lalu disyaki positif dadah jenis ekstasi.
Kata Mohd. Sukki, sambutan tahun baharu masihi biasanya dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti yang meruntun nafsu seperti perhimpunan besar-besaran muda-mudi dan remaja belia, kemudian diikuti dengan persembahan konsert dan percikan bunga api yang amat mempesonakan.
Katanya, tambah ‘menyeronokkan’ lagi ialah perhimpunan itu melibatkan percampuran antara lelaki dan perempuan serta pengkid dan pondan tanpa garis pemisahan.
“Sesuatu yang amat mendukacitakan yang berlaku ialah apabila tibanya sambutan tahun baharu masihi, ia dicemari dengan sambutan bercirikan maksiat yang bukan sahaja bercanggah dengan ajaran Islam, tetapi tidak menepati adab-adab dan nilai-nilai masyarakat Melayu yang terkenal dengan akhlak dan budi pekerti yang baik,” katanya.















