SUNGAI PETANI – “Naluri sebagai bapa masih kuat mengatakan anak saya masih hidup dan yakin dia akan ditemukan dalam keadaan selamat.”
Itu kata Ahmad Tarmizi Safar, 54, bapa kepada anggota pasukan 22 Komando, Lans Koperal Ahmad Zulhilmi yang masih hilang di Banding, Perak hampir sebulan lalu.
Katanya, dia yakin dengan kemampuan anaknya sebagai seorang anggota tentera yang mempunyai kemahiran hidup di dalam hutan.
“Malah sejak kehilangannya, kami tidak pernah bermimpi atau mendapat sebarang perkhabaran pelik atau petunjuk berkaitan kematiannya,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, selain usaha berterusan yang dijalankan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), ahli keluarga juga meneruskan ikhtiar melakukan solat hajat memohon anak sulungnya itu ditemukan selamat.
“Saya sentiasa dihubungi ATM setiap petang yang akan memaklumkan perkembangan pencarian dan terbaharu mereka memberitahu pencarian turut dilakukan bukan sahaja di daratan, tetapi merangkumi sepanjang sungai di situ.
“Usaha berterusan ATM menjejaki Ahmad Zulhilmi sejak hilang memberi keyakinan dan harapan yang anak saya masih hidup,” katanya.
Setakat lewat petang semalam, mangsa masih belum ditemukan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Ahmad Zulhilmi dan Lans Koperal Mohd Afandi Jahwin daripada pasukan 21 Komando Kem Sungai Udang Melaka hilang selepas dihanyutkan arus ketika menyeberangi Sungai Merah bersama tujuh anggota lain pada 30 November tahun lalu.
Bagaimanapun, mayat Mohd. Afandi yang berasal dari Sarawak dijumpai di tepi sungai oleh pasukan penyelamat, kira-kira tiga kilometer dari kedudukan Markas Trup pada 1 Disember lalu, manakala Ahmad Zulhilmi hilang.
Kejadian sekitar pukul 6 petang itu berlaku ketika kedua-dua anggota komando terbabit sedang menyertai gerakan operasi Kota Echo/Foxtrot di kawasan hutan simpan berkenaan.














