IPOH – Mangsa banjir di negeri ini terus merekodkan peningkatan apabila seramai 423 individu terjejas dengan bencana tersebut setakat pukul 12 tengah hari tadi.
Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perak berkata, peningkatan itu sekali gus meningkatkan jumlah keluarga terjejas kepada 90 daripada 86 buah keluarga (399 mangsa) pada pukul 10 pagi hari ini.
“Kesemua mangsa ditempatkan di dua buah pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu PPS Dewan Kg. Asli Chinggung membabitkan 402 mangsa (79 keluarga) dan PPS Dewan Orang Ramai Kg. Sg. Sekiah melibatkan 21 mangsa (11 keluarga),” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi dalam ramalannya memberitahu ribut petir dan hujan lebat berlaku di Sarawak tengah hari ini melibatkan Samarahan, Kapit dan Bintulu.
Jabatan itu turut meramalkan tiada amaran hujan lebat berterusan berlaku hari ini. – KOSMO! ONLINE














