Cabaran yang lebih besar dan utama hari ini bukanlah kemiskinan tetapi keselesaan kehidupan.

Mereka tidak miskin tetapi adakah selesa?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MALAYSIA sudah 67 tahun merdeka. Kita boleh dianggap ‘berjaya’ dalam menangani kemiskinan.

Kadar kemiskinan dan corak kemiskinan telah bertukar dengan jelas, daripada kemiskinan yang meluas, 49.3 peratus pada tahun 1970 kepada 6.2 peratus ketika ini. Kemiskinan kini lebih bersifat berpoket-khusus lokasi dan punca.

Bagaimanapun, cabaran yang lebih besar dan utama hari ini bukanlah kemiskinan tetapi keselesaan kehidupan.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, majoriti rakyat kini mempunyai pendidikan, makanan, pendapatan, rumah, kenderaan, pekerjaan, akses kepada kemudahan kesihatan dan infrastruktur asas.

“Mereka tidak miskin, namun adakah kehidupan mereka selesa?

“Selesa tidak bermaksud kaya. Isi rumah memerlukan pendapatan yang mencukupi untuk memenuhi kehidupan yang wajar bersesuaian dengan cara hidup dan budaya,” katanya.

Menurutnya, laporan Belanjawanku yang dikeluarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) Universiti Malaya memberi ukuran pendapatan selesa bagi sembilan kategori individu atau isi rumah di bandar-bandar utama Malaysia.

“Ia meliputi 11 kategori perbelanjaan lazim bagi rakyat Malaysia. Berdasarkan ukuran pendapatan selesa Belanjawanku, jelas bahawa sebahagian besar rakyat tidak mencapai kehidupan selesa,” katanya.

Jelasnya, kehidupan selesa adalah pendapatan isi rumah setara dengan kos sara hidup.

Noor Azlan menambah, sebagai anggaran, berbanding pendapatan selesa bandar utama setiap negeri, pendapatan penengah di semua negeri (kecuali Johor dan Selangor) adalah hampir menyamai atau lebih rendah daripada pendapatan penengah.

“Kemiskinan hari ini melibatkan 6.2 peratus isi rumah, namun bagaimana pula yang selebihnya? Keluhan sebahagian besar rakyat hari ini bukan kemiskinan tetapi kehidupan mereka tidak selesa,” ujarnya.

Sehubungan itu, jelasnya, Kementerian Ekonomi perlu menyegerakan ukuran garis pendapatan selesa untuk seluruh lokasi atau wilayah, setidak-tidaknya bermula dengan setiap daerah.

Keselesaan kehidupan sewajarnya dijadikan antara gagasan utama perancangan ekonomi hari ini.

Sebagai sebuah negara yang menghampiri status berpendapatan tinggi, Malaysia seharusnya memberi penumpuan yang tinggi kepada keselesaan kehidupan. Strategi meningkatkan keselesaan hidup berbeza dengan strategi pembasmian kemiskinan.

Teruskan usaha membasmi kemiskinan tetapi yang lebih utama dan bermakna untuk majoriti rakyat hari ini ialah keselesaan kehidupan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN