fbpx
NORASHIKIN menyiram air di pusara arwah abangnya, Shakirin (gambar kecil) di Tanah Perkuburan Islam Felda Pasak, Kota Tinggi malam kelmarin.

Hilang nyawa kerana cinta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA TINGGI – Keluarga kepada Shakirin Mohammad yang mayatnya dijumpai disumbat di dalam but kereta mendedahkan mangsa dibunuh angkara cinta selepas lelaki itu menjalinkan hubungan dengan seorang janda.

Norashikin Mohammad, 26, berkata, abangnya, Shakirin, 28, pernah membawa pulang wani­ta itu berjumpa keluarga dan menya­takan hasrat untuk mendirikan rumah tangga bersama.

Disebabkan itu katanya, ada individu yang disyaki tidak ber­puas hati dengan hubungan cinta mereka yang terjalin kira-kira setahun.

“Arwah seorang yang pendiam, namun dia ada bercerita mengenai perkara itu kepada rakannya. Saya dapat tahu daripada kawannya, ada orang tidak puas hati dengan dia. Kawan beritahu abang bercinta dengan janda.

“Dia banyak cerita pasal hubungannya dengan wanita itu kepada kawannya termasuklah tentang dia pernah diugut, tetapi dengan keluarga tidak banyak bercerita,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Norashikin memberitahu, dia mengenali wanita terbabit sebagai teman wanita abangnya, namun tidak terlalu rapat.
Menurutnya, kali terakhir ibu bapanya melihat abangnya di rumah pada 25 Disember lalu dan tidak pulang ke rumah selepas itu sehingga mula rasa curiga.

“Biasanya abang kalau keluar dia akan balik. Wanita itu juga ada hubungi saya tanya kepada saya kenapa telefon abang tidak dapat dihubungi, WhatsApp pun satu tick sahaja.

“Kami ada bertanyakan kepada kawan-kawan abang pada 26 Disember lalu, tetapi mereka kata ada jumpa abang, membuatkan kami rasa tidak curiga apa-apa,” katanya.

Bagaimanapun, Norashikin berkata, pada 28 Disember lalu, pihak polis telah meminta keluarga segera ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing.

“Apabila sampai di balai dan polis meminta buat pengesahan, barulah tahu abang dibunuh.

“Polis memaklumkan abang bukan dibunuh di Mersing, tetapi di Johor Bahru sebelum mayatnya dibawa ke Mersing dan dijumpai di dalam but kereta,” jelasnya.

Norashikin berkata, sehingga kini keluarga masih terkejut de­ngan pemergian Shakirin dalam keadaan yang sungguh tragis.

Menurutnya, keluarga berharap pihak polis melakukan siasatan rapi dan membawa pelakunya ke muka pengadilan untuk menerima hukuman setimpal.

“Abang adalah anak sulung dalam keluarga, dia bekerja sebagai pemandu lori dan duduk bersama mak dan ayah, manakala saya pula tinggal di Pasir Gudang.

“Kerjanya memang selalu keluar daerah dan akan ulang-alik untuk jaga mak ayah. Dia juga sudah lama bekerja pandu lori. Kami sekeluarga amat terasa akan kehilangannya,” ujarnya.

Jenazah Shakirin telah selamat dikebumikan kira-kira pukul 8 malam kelmarin selepas disolatkan di Masjid Felda Pasak di sini.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, mayat Shakirin ditemukan disumbat di dalam but kereta Proton Waja di kawasan semak tepi jalan sebuah ladang di Kilometer 26, Jalan Jemaluang-Kahang di Mersing pada Sabtu lalu.

Mangsa ditemukan lengkap berpakaian dengan kesan kelar di leher pada pukul 1.50 tengah hari.

Beliau berkata, motif pembunuhan dipercayai dendam ­kerana mangsa disyaki mempu­nyai hubungan dengan bekas isteri suspek.

Ekoran kes itu, polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita tempatan pada pukul 4.30 pagi kelmarin.

Kedua-dua suspek berumur 33 dan 35 tahun itu ditahan reman selama tujuh hari mulai kelmarin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN