ANTARA motosikal bernombor pendaftaran Thailand yang dikesan berada di Rantau Panjang.

‘Rasa macam tinggal di Golok’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RANTAU PANJANG – Lambakan motosikal dengan nombor pendaftaran Thailand di kebanyakan kawasan di daerah ini menjadikan daerah ini tidak ubah se­perti kawasan di selatan Thailand terutamanya Golok.

Tinjauan Kosmo! mendapati, kebanyakan motosikal Thailand juga bebas bergerak melebihi 2 kilometer (km) dari pintu masuk di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin, dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.

Bukan hanya digunakan untuk tujuan berniaga, penunggang motosikal dengan nombor pendaftaran Thailand itu juga dilihat membawa kenderaan itu untuk menghantar anak ke sekolah dan ke tempat kerja.

Seorang penduduk Rantau Panjang, Ahmad Ibrahim, 50, berkata, dia sudah biasa melihat motosikal dari Thailand de­ngan kebanyakannya tiada Permit Edaran Antarabangsa (ICP) berlegar-legar di kawasan kampungnya yang terletak kira-kira 6 km dari ICQS.

Menurutnya, motosikal Thailand biasanya membanjiri kawasan Rantau Panjang pada waktu pagi dipercayai untuk me­lakukan pelbagai urusan.

“Kebanyakan motosikal itu ditunggang sendiri oleh rakyat Thailand yang bekerja di negara ini.

“Selain itu, ada motosikal dari negara jiran itu ditunggang oleh penduduk tempatan.

“Suasana di sini tidak ubah seperti berada di Golok, Thailand kerana motosikal dari seberang sangat banyak dan berlambak di sini,” katanya ketika ditemui ­Kos­mo! baru-baru ini.

Seorang lagi penduduk, Asrudi Ghazali, 25, berkata, keba­nyakan masyarakat di daerah ini lebih berminat untuk membeli motosikal dari Thailand kerana harganya murah.

Katanya, harga motosikal berkuasa 100 hingga 125cc boleh dibeli serendah RM3,000 menggunakan nama saudara-mara mereka dari Thailand sebelum ia dibawa ke negara ini.

“Kebanyakan penduduk sempadan mempunyai pertalian darah dengan rakyat Thailand. Jadi, tiada masalah untuk mereka mendapatkan motosikal ber­kenaan.

“Segala dokumen pembelian motosikal menggunakan nama saudara atau keluarga di sana. Kami hanya bayar dan menggunakan kenderaan itu di sini tanpa melebihi 2 km seperti yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Menurutnya, sebaik sahaja mema­suki Malaysia, motosikal tersebut akan kekal di sini dan kebanyakan daripada penduduk tidak memperbaharui insurans ken­deraan tersebut.

Katanya, penduduk tempatan menunggang motosikal dari Thailand bukan untuk perjalanan jauh dan hanya untuk memudahkan urusan harian bergerak.

“Motosikal terpakai dari Thailand juga ada yang dijual pada harga serendah RM500 sebuah dan ia mampu dimiliki semua orang.

“Sebab itu ramai rakyat Malaysia yang tinggal di sempadan memiliki motosikal Thailand. Banyak juga yang tiada dokumen yang sah,” ujarnya.

Menurutnya, ada juga penduduk yang membeli motosikal terpakai dari Thailand untuk ke­giatan penyeludupan petrol termasuk mengubah suai tangki kenderaan tersebut sehingga boleh mengisi sehingga 30 liter bahan api itu.

Katanya, jika tertangkap, identiti pemilik motosikal tersebut tidak dapat dikesan kerana ia tiada ICP.

Sementara itu, seorang penunggang motosikal Thailand yang mahu dikenali sebagai ­Dollah, 34, berkata, memandangkan motosikal Thailand miliknya tiada dokumen sah, dia perlu lebih­ berhati-hati semasa berada di atas jalan raya agar tidak ditangkap pihak berkuasa negara ini.

“Saya tidak akan melalui kawasan yang sudah dikenal pasti sebagai lokasi sekatan jalan raya,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN