JERANTUT – Penduduk dilanda keresahan setiap kali hujan lebat apabila kawasan jalan dan premis perniagaan akan dipenuhi dengan lumpur tebal yang mengalir dari kawasan tebing sebuah projek perumahan di Simpang Ibul Tunggal di Pulau Tawar, di sini.
Dalam kejadian terbaharu semalam, air hujan mengalirkan lumpur tebal sehingga memenuhi bahagian hadapan kedai dan jalan raya di kawasan itu.
Seorang penduduk perumahan Simpang Ibul Tunggal, Zakaria Yazin, 57, berkata, dia terkejut apabila melihat lumpur tebal memenuhi bahagian hadapan kedai dan jalan raya apabila sampai untuk bersarapan di sebuah kedai kawasan tersebut.
Zakaria mendakwa, kejadian itu juga berpunca akibat ketiadaan sistem perparitan atau longkang besar di kawasan tersebut yang boleh mengalirkan air ke kawasan anak sungai berhampiran.
“Air hujan yang mengalir dari kawasan tinggi, iaitu perumahan berdekatan terus masuk ke kawasan premis kerana tidak ada sistem perparitan dan kesannya hanyutan dan mendapan lumpur di serata tempat yang berlaku hari ini (semalam).
“Sebahagian parit berdekatan premis di situ pula sudah dipenuhi tanah dan sampah berikutan sudah lama tidak dibersihkan sehingga menyebabkan laluan air tidak sempurna ketika hujan lebat,” katanya di sini semalam.
Seorang peniaga, Noorhusliza Mohd. Husin, 47, berkata, pencemaran lumpur yang berlaku setiap kali hujan lebat boleh mengganggu pelanggan yang datang ke kedainya.
Kata beliau, sekiranya penyelenggaraan perparitan tidak dilakukan dengan sempurna sudah tentu kejadian sama berulang lagi tambahan pula hujan lebat ketika musim tengkujuh pada masa ini.
“Kita (peniaga) di sini berharap pihak berwajib membersihkan atau membaik pulih longkang berdekatan kedai termasuk membina parit yang lebih besar bagi kemudahan saliran ketika hujan
lebat,” ujarnya.
















