fbpx
Anggota tentera Thailand mengawal kawasan tebing Pangkalan haram Gergaji di Sungai Golok, Thailand. – MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

Curi-curi bawa penumpang, takut dron polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI GOLOK, THAILAND – Di sebalik kawalan ketat pihak berkuasa Malaysia, terdapat pe­ngusaha bot tambang di sini masih meneruskan operasi membawa penumpang dan menyeludup barangan melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok.

Pemantauan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan penggunaan dron di sekitar kawasan sempadan ketika ini seolah-olah tidak menggerunkan mereka.

Tinjauan Kosmo! Ahad di pangkalan haram Gergaji mendapati, jeti tersebut masih berope­rasi seperti biasa untuk membawa penduduk dari Rantau Panjang ke Sungai Golok walaupun bila­ngan penumpang berkurangan sejak 1 Disember lalu.

Seorang pengusaha bot dikenali sebagai Man, 40, berkata, bot tambangnya beroperasi se­perti biasa dan dia menerima penumpang dari Rantau Panjang walaupun pihak berkuasa Malaysia kerap membuat pemantauan.

Sebelum ini dia membawa 50 hingga 60 penumpang sehari, namun jumlah itu berkurangan kepada 10 orang sejak pangkalan haram dikawal ketat PGA.

“Pemantauan dan penguatkuasaan ketat hanya di sebelah Malaysia. Di Sungai Golok, kami beroperasi seperti biasa, cuma perlu lebih berwaspada bila hantar penumpang ke pangkalan haram Gergaji,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Pangkalan haram Gergaji di Sungai Golok, Thailand. – MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

Seorang lagi pengusaha bot, Din, 45, memberitahu, tambang untuk menyeberang Sungai Golok ke pangkalan haram Gergaji adalah RM3 hingga RM5 bergantung kepada kuantiti bara­ngan yang dibawa.

“Buat masa ini saya memang berhati-hati kerana dron (PGA) sering berlegar-legar di sekitar Sungai Golok. Biasanya dron ini terbang selama 10 minit, tetapi tidak mengira waktu.

“Bila ada dron, kami tidak bawa penumpang. Ia sangat berbahaya kerana kami boleh dicekup ketika menghantar penumpang di se­belah Malaysia,” katanya.

Din berkata, disebabkan pemantauan ketat pihak PGA di se­belah Malaysia, dia akan mengemudi bot pada waktu subuh, tengah hari dan tengah malam yang dianggap kurang berisiko untuk ditangkap pihak berkuasa.

“Ini mata pencarian saya, jadi saya perlu teruskan operasi bot tambang walaupun berdepan risiko ditangkap pihak berkuasa Malaysia,” katanya.

Sementara itu, di Rantau Panjang, pengendali bot penambang dikenali Hassan, 63, berkata, ­biarpun terdapat kawalan ketat di pangkalan haram, namun dia masih menerima permintaan da­ripada pelanggan setiap hari yang menghubunginya untuk mengambil mereka di tebing Sungai Golok untuk dibawa ke Mundok.

“Saya perlu lebih berhati-hati bila menjejakkan kaki di sempadan Malaysia. Pengendali bot boleh dicekup apabila sampai ke sebelah Malaysia kerana PGA menerbangkan dron,” katanya.

Dalam pada itu, penyeludup beras, Nordin, 50, mendakwa, sebelum ini dia dapat menyeludup kira-kira 100 kampit beras Siam seberat sembilan kilogram setiap hari.

“Sekarang kawalan sempadan sudah ketat, jadi saya bawa ma­suk 20 kampit sahaja kerana bimbang akan dicekup anggota PGA yang mengawal di Sungai Golok.

“Biasanya saya menyeludup beras Siam pada waktu maghrib dan tengah malam bagi mengelak dikesan PGA dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Buat masa ini, hanya bot tambang dari Thailand sahaja yang aktif beroperasi. Bot penambang di Malaysia banyak yang sudah tersadai berikutan penguatkuasaan ketat oleh pihak berkuasa negara ini,” katanya.

Bermula 1 Disember lalu, Polis Kelantan melaksanakan lara­ngan merentas sempadan melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok.

Arahan tersebut terpakai untuk semua pihak termasuk penduduk di Rantau Panjang dan pelajar sekolah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN