fbpx

Rompak arkitek, 3 rakan dijel 4 tahun dan sebatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Perbuatan tiga rakan yang merompak seorang arkitek dengan bersenjatakan pisau dan kayu, berakhir apabila mereka masing-masing dihukum penjara empat tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid menjatuhkan hukuman itu ke atas Zikry Haziq Danial Zainal Abidin, 21, Muhamad Firdaus Mohd. Zulkefli, 23, dan Muhammad Syamil Zaqim Sazali, 20, selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang disabitkan.

Zikry Haziq dan Muhammad Syamil masing-masing bekerja sebagai penghantar makanan dan barangan manakala Muhamad Firdaus tidak bekerja.

Mahkamah turut memerintahkan ketiga-tiga tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 8 Januari lalu.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan pisau dan kayu ke atas Amir Syauqie Ahmad Khairuddin, 28.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tingkat satu sebuah bangunan di Setapak, Jalan Gombak di sini, pukul 1.30 tengah hari pada 3 Disember tahun lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Syahieza Md. Hadzaid memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana kesalahan yang dilakukan serius, yang mana mangsa bukan sahaja mengalami kerugian, malah cedera akibat dipukul ketiga-tiga tertuduh.

“Meskipun kesemua tertuduh masih muda, namun mahkamah harus melihat kepentingan awam dalam kes ini. Hukuman yang berat dapat menjadi pengajaran buat mereka dan masyarakat daripada melakukan perkara sama,” katanya.

Bagaimanapun ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam pula merayu supaya mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana mereka mempunyai tanggungan keluarga.

Mengikut fakta kes, semasa kejadian, mangsa yang berada di pejabatnya telah didatangi tiga lelaki berkenaan yang memegang pisau dan kayu serta bertanya kepada mangsa berkenaan hutang.

Mangsa menafikan dia berhutang dengan mana-mana individu. Ketiga-tiga lelaki itu kemudian bertindak mengambil jam tangan dan telefon bimbit serta memukul mangsa. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI