ALOR SETAR – Khidmat penyiasat persendirian (PI) bukan sahaja untuk mengintip pasangan curang, malah ada orang kenamaan (VVIP) yang mengupah mereka untuk memantau anak masing-masing.
Tindakan itu dibuat kerana ada dalam kalangan VVIP yang mahu mengetahui aktiviti atau pergerakan anak mereka ketika berada di luar rumah.
Pengarah Operasi Mr. Detective dikenali sebagai Ray berkata, ada ibu bapa menggunakan khidmat PI untuk menjejaki aktiviti anak termasuk yang menuntut di institusi pengajian tinggi.
“Mereka hendak tahu sama ada anak terlibat dalam masalah sosial selain cara anak membelanjakan wang saku.
“Ibu bapa bimbang apabila menyedari tingkah laku anak mereka berubah ketika berada di rumah,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut Ray, terdapat kes seorang PI mengekori pelajar kolej dan mendapati remaja itu menyewa sebuah kediaman untuk menganjurkan private party.
“Segala bukti yang diperoleh akan diserahkan kepada klien (ibu bapa) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tambah Ray, rata-rata ibu bapa menggunakan khidmat PI bagi memastikan anak tidak terjebak dengan masalah sosial memandangkan mereka mempunyai kekangan masa kerana sibuk dengan karier.
“Skop perkhidmatan PI amat luas bukan hanya tertumpu kepada kes korporat dan kecurangan dalam perkahwinan semata-mata,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan semakin ramai golongan isteri menggunakan khidmat PI untuk mengintip pergerakan pasangan yang disyaki mempunyai ‘kekasih gelap’ sehingga ada yang sanggup membayar RM50,000.
Kebanyakan mereka terdiri daripada VVIP yang curiga apabila suami mula menunjukkan perubahan tingkah laku ‘liar’ ketika berada di luar rumah. Kecurangan antara kes paling banyak dikendalikan setakat ini.














