KUALA LUMPUR – Seorang pelancong warga China yang hilang sejak 8 Disember lalu dijumpai di tepi Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, warga emas berusia 84 tahun itu ditemui dalam keadaan lemah oleh seorang wanita yang melalui lokasi kejadian.
“Dia (mangsa) tidak mengalami sebarang kecederaan selain kesan calar di bahagian muka. Mangsa masih menerima rawatan.
“Setakat ini punca kehilangannya masih dalam siasatan. Kita akan mengambil keterangan setelah mangsa dilaporkan stabil,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Semalam, Kosmo! Online melaporkan Xu Baolin dilaporkan hilang selepas makan di Medan Selera Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 8 Disember lalu.
Polis menerima laporan berhubung kehilangan Xu Baolin pada pukul 11.42 pagi, Isnin lalu.
Lelaki itu melancong ke negara ini seterusnya mengunjungi KLCC dan makan di medan selera tersebut bersama empat ahli keluarganya sebelum dilaporkan hilang. – KOSMO! ONLINE.














