fbpx
ISTERI curiga upah penyiasat persendirian kumpul bukti pasangan ada ‘kekasih gelap’. - GAMBAR HIASAN

Upah PI intip suami miang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Semakin ramai isteri menggunakan khidmat penyiasat persendirian (PI) untuk mengintip pergerakan pasangan yang disyaki mempunyai ‘kekasih gelap’ apabila sanggup membayar upah sehingga RM50,000.

Kebanyakan mereka terdiri daripada golongan kenamaan atau VVIP yang curiga dengan suami yang mula menunjukkan perubahan tingkah laku ‘liar’ ketika berada di luar.

Ketua PI dan Perlindungan Korporat Tun Security Services Sdn. Bhd., Hafize Adnan berkata, kes kecurangan adalah yang pa­ling banyak dikendalikan pihak­nya setakat ini.

Menurutnya, ia tidak seba­nyak penyiasatan lain melibatkan kes korporat seperti pecah amanah dan penipuan, siasatan bukti tambahan perlakuan jenayah serta mengesan orang hilang dan orang berhutang.

Berkongsi satu kes menarik perhatian, katanya, seorang ­wa­nita VVIP berusia lingkungan 60-an telah mengambil khidmat PI bagi mengintip pergerakan suaminya.

“Dia mendakwa suaminya mempunyai skandal dengan ramai wanita termasuk ‘sugar baby’ dan pelacur kelas atasan, memang boleh dikatakan dia sangat ‘aktif’ di luar.

“Jadi, kami diamanahkan oleh pelanggan untuk buat siasatan, pengesahan dan seterusnya pembuktian aktiviti serta perge­rakan suami pelanggan,” katanya kepada Kosmo!.

Beliau memberitahu, siasatan mengambil masa kira-kira tiga minggu kerana lelaki terbabit kerap ke luar negara dan dipercayai turut melakukan kegiatan tidak bermoral di sana.

“Pelanggan kami ini sebenar­nya hanya mahu memastikan dan mengesahkan suaminya tiada isteri lain selain dia. Ia le­bih kepada kepentingan harta,” katanya sambil memberitahu bayaran bagi kes itu kira-kira RM36,000.

Ujar beliau, kebiasaannya siasatan yang dilakukan berjaya mendapatkan bukti seperti pe­langgan mahukan.

Katanya, sebelum mengambil kes, pihaknya perlu memastikan segala maklumat diberikan adalah benar, namun kadangkala ada maklumat tidak betul dan lebih kepada prasangka.

“Namun begitu, kecurigaan isteri itu biasanya benar apabila ia dapat dibuktikan selepas intipan dan siasatan dilakukan. Kes tidak dapat dibuktikan jika tiada sebarang aktiviti atau pergerakan suami seperti didakwa pelanggan,” katanya.

Menurutnya, semua bukti kecurangan yang diperoleh boleh digunakan pelanggan sebagai pembuktian tambahan untuk tuntutan di mahkamah sivil atau syariah.

“Kami akan kumpul segala bukti dan akan buat satu laporan lengkap yang mana bukti itu terpakai di mahkamah, malah kami boleh dipanggail sebagai saksi profesional.

“Namun, pelanggan perlu memastikan PI yang diupah adalah daripada syarikat berdaftar dan mempunyai lesen di bawah Kementerian Dalam Negeri.

“Ramai terpedaya dan me­­ngalami kerugian akibat mengambil khidmat PI tidak berlesen,” ujarnya.

Tambah beliau, selain isteri, ramai juga suami yang turut mengupah PI untuk mengintip pasangan mereka yang disyaki curang.

Katanya, intipan ke atas pergerakan suami atau isteri pe­langgan akan dilakukan bagi mendapatkan apa sahaja bukti berkaitan kecurangan dilakukan.

“Jumlah bayaran berbeza mengikut kes dan tempoh masa diperlukan dengan anggaran ­kadar bayaran bermula RM800 sehari.

“Jumlah bayaran pernah mencecah RM50,000 bagi kes kecurangan ‘level kayangan’ dan memerlukan penyiasatan dalam tempoh lama serta perlu intip hingga ke luar negara,” ujarnya.

Katanya, PI akan merakamkan gambar dan video serta mendapatkan bahan bukti lain seperti resit tertentu dan rakaman ­televisyen litar tertutup bagi membuktikan ada aktiviti luar daripada kebiasaan antara pasangan dengan individu lain seperti didakwa.

“Selain itu, kami menggunakan gajet di bawah cadangan Spy Gadget yang berupaya mem­bantu membuat intipan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN