fbpx
KUMPULAN militan Daesh bukan sahaja memperdaya golongan lelaki untuk berjuang, malah turut memperalatkan wanita dari Malaysia menerusi pemahaman erti jihad yang terpesong. – GAMBAR HIASAN

Eksklusif: Wanita kampung terbang ke Syria untuk nikah militan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan bukan hanya golongan lelaki yang pergi ke Syria untuk berjuang, malah terdapat gadis naif berasal dari kampung yang begitu berani ‘terbang’ ke negara bergolak tersebut untuk mengahwini pejuang atau militan Daesh di sana.

Difahamkan, golongan wanita ini setelah tiba di Syria akan dikahwinkan dengan militan IS atau Daesh.

Selepas beberapa kali bernikah dan di­ceraikan, golongan wanita ini akan meminta ban­tuan KDN untuk membawa mereka pulang ke Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, gadis-gadis tersebut yang berasal dari kampung dan membesar dalam suasana desa, namun begitu berani ke luar negara seorang diri semata-mata mahu mengahwini lelaki yang berjuang di Syria.

“Gadis atau wanita tersebut mempunyai sistem sokongan yang kuat sekali gus mendorong mereka untuk nekad meninggalkan tanah air. Bila kita (lihat) profil mereka terlibat, dia betul-betul budak kampung. Bila kita tengok budak kampung, tapi dia ‘travel’ (mengembara) sampai ke sana, masa itu Syria.

“Kita pun nak ‘travel’ seorang tak tahu ‘airport’ (lapangan terbang) mana, yang ini (wanita tersebut) boleh (mengembara seorang diri). Bermaksud memang sudah ada, orang kata sistem sokongan. Kalau dia rekrut itu lengkap sistem sokongan, orang itu bila tinggalkan kampung, dia tak rasa bimbang pun. Yang penting dia ada di sana,” katanya pada sesi temu bual bersama Kosmo! baru-baru ini.

Akhbar ini melalui laporan eksklusif pada 30 Oktober lalu melaporkan, bekas anggota kumpulan pengganas IS atau Daesh dikenali Akmal (bukan nama sebenar), 38, begitu nekad untuk berjuang di Syria walaupun dibesarkan dalam keluarga anggota pasukan keselamatan.

Saifuddin Nasution berkata, ada dalam kalangan wanita itu kemudiannya menghubungi pihaknya untuk pulang ke Malaysia selepas berpisah dengan pasangan masing-masing.

“Sebahagian rakyat Malaysia pergi kerana berkahwin, ­perempuan berkahwin dengan pasangan kemudian dia (suami) berjuang di Syria sebagainya. Sampai satu tempoh mereka hubungi kita minta balik, kita bawa baliklah.

“Kita ada sejumlah nama dan kita bawa balik, yang terakhir lima, enam orang (wanita Malaysia bersama anak). Wanita ini dalam dua, tiga orang sekali anak. Suami tidaklah (dibawa balik) sebab dah kena cerai,” katanya.

Ujarnya, kerajaan membantu wanita-wanita tersebut dari segi dokumentasi untuk membawa mereka pulang ke tanah air.

“Kita tetapkan satu proses untuk sesuaikan mereka balik, orang Kedah ada, Sik ada. Kita profil semua, dia pergi ke sana kerana berkahwin. Ada atau tidak lagi itu (wanita Malaysia di Syria), kita tak ‘establish’ (sahkan) perkara itu. Kita hanya tahu kita bawa balik, ada wanita kita berkahwin dan suami berjuang di sana. Kena cerai kita bawa baliklah,” ujarnya.

Ujarnya, selain wanita tersebut, ada juga rakyat Malaysia dipercayai menyertai kumpulan-kumpulan tertentu menghubungi pihaknya untuk dibawa pulang ke tanah air.

“Jadi kita kerjasama dengan semua negara, yang (ikut) berperang itu kita bawa balik. Di sini kita masukkan mereka dalam satu program modul dibangunkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengubah mereka daripada ekstrem radikal jadi warga biasa,” katanya.

Tegas beliau, keupayaan agensi perisikan negara adalah terbaik dalam mengesan mana-mana individu terlibat sebarang aktiviti berunsur keganasan.

“Dari segi keupayaan perisikan kita, ya kita mampu kesan. Sudah tentu kita tahu trend itu membimbangkan atau terka­wal. Saya boleh katakan kea­daan sekarang adalah terkawal.

“Macam insiden Balai Polis Ulu Tiram, dia ‘lone wolf’ bertindak sendiri. Bukan pakatan atau gerombolan sebab kita boleh profilkan dengan tepat,” ujarnya.

Katanya, sewaktu mempengerusikan mesyuarat Pelan Tindakan Malaysia bagi Mencegah dan Menangani Fahaman Pelampau Keganasan 2024-2028 (MyPCVE), Cawangan Khas D8 turut membentangkan mengenai trend akti­viti keganasan antaranya Daesh, ISIS dan sebagainya.

“Maknanya keupayaan agensi perisikan kita ‘tip top’ lah. Kita ada profil (maklumat) sa­ngat jelas, (contoh) dia ke Syria ke, semua kita ada,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN