fbpx
CALON SPM perlu lebih bersedia untuk mendapatkan keputusan cemerlang.

Calon SPM perlu fokus, atasi tekanan secara holistik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Baru-baru ini kewajaran meneruskan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sementara negara dilanda banjir hangat diperdebatkan dalam Parlimen.

Sebelum ini Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin mencadangkan mengadakan sesi kedua peperiksaan SPM supaya calon yang terjejas banjir boleh mendudukinya selepas keadaan reda.

Perkara tersebut senada dengan luahan segelintir ibu bapa calon SPM yang bimbang dengan keadaan pelajar tertekan susulan keperluan pembelajaran hanyut dilanda banjir.

Cadangan tersebut ditepis Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang menegaskan semua agensi kerajaan termasuk kementeriannya sudah bersiap siaga sepenuhnya di bawah Ops Payung.

Bahkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, isu ini tidak wajar dipolitikkan pembangkang kerana langkah sedemikian bukan perkara baharu dalam menyelesaikan isu pelajar terkandas akibat banjir.

Namun, dalam satu laporan lain, Anwar turut menyifatkan jumlah mangsa banjir Monsun Timur Laut (MTL) yang direkodkan sejak 5 November lalu seramai 235,706 orang di sembilan negeri sebagai luar biasa.

Data hasil laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara dan Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat itu merekodkan jumlah tertinggi sejak 2014.

Ini bermaksud kesan banjir pada kali ini lebih parah berbanding sedekat yang lalu dengan seramai 5,377 calon SPM 2024 di Kelantan, Terengganu dan Kedah terjejas akibat banjir.

Biarpun kerajaan berjaya membantu menyediakan kemudahan secara fizikal, namun persoalannya bagaimana sokongan tersebut dapat dimanfaatkan pelajar secara holistik?

Pensyarah Kanan Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Haslina Muhamad dari berkata, akses kepada kaunseling dan sokongan emosi boleh membantu pelajar menguruskan tekanan takut atau trauma.

Ujarnya, calon perlu fokus pada perkara boleh dikawal seperti persediaan peperiksaan dan alihkan perhatian daripada perkara yang tidak boleh dikawal seperti keadaan banjir.

“Perasaan takut, cemas, atau tertekan adalah normal dalam situasi bencana. Pelajar perlu diajar cara menangani tekanan akibat gangguan seperti banjir.

“Teknik seperti pernafasan mendalam dan minda sedar (mindfulness) boleh membantu. Jadikan latihan ini sebahagian daripada program bimbingan kaunseling di sekolah,” katanya.

Haslina turut berkata, pelajar yang berada di kawasan kerap dilanda banjir perlu susun jadual belajar lebih awal terutama sebelum musim hujan.

Katanya, ini bagi memastikan pelajar mampu fokus menyelesaikan topik sukar atau kertas latihan utama sebelum musim banjir.

“Pelajar boleh simpan bahan belajar dalam bentuk digital seperti e-buku, nota PDF, atau rakaman video. Ini membantu jika buku fizikal rosak atau hilang.

“Sekarang ini, pelajar boleh simpan bahan di Google Drive atau platform storan awan lain untuk akses mudah,” ujarnya.

Untuk rekod, Ujian Bertutur Bahasa Melayu bermula 2 Disember hingga Khamis ini, manakala Ujian Amali Sains pula ditetapkan pada 9, 10 dan 12 Disember ini.

Ia diikuti Ujian Bertutur Bahasa Inggeris pada 16, 17, 18, dan 19 Disember, manakala Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pada 31 Disember.
Peperiksaan bertulis pula diadakan bermula 2 Januari hingga 6 Februari tahun hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN