KADANGKALA ada perpisahan suami isteri ibarat tidak masuk akal sebabnya.
Itu yang berlaku kepada Anis (bukan nama sebenar) tatkala mengenang kisah dia diceraikan sekitar lima tahun lalu.
Menurut anak jati Kuala Lumpur itu, dia sebelum ini pernah bernikah dengan lelaki asal Kelantan yang dikenalinya sejak di universiti lagi.
Perkenalan tersebut akhirnya membawa kepada bibit-bibit cinta hingga mereka nekad mendirikan rumah tangga.
“Bila dapat suami yang memang asal Kelantan, jadi saya pun kenalah ikut cara dan apa yang suami suka.
“Cuma satu, saya memang tidak suka dan tak boleh terima budu. Saya sudah cuba, tetapi memang tidak masuk tekak dan boleh buat saya muntah,” katanya.
Jelas Anis, dek kerana budu jugalah hubungan sah mereka sebagai suami isteri berakhir.
Cerita ibu kepada dua cahaya mata itu, ibu mentuanya juga antara penyebab kepada hancurnya rumah tangga yang mereka berdua bina selama ini.
“Ibu mentua saya memang baik. Itu tidak dapat saya nafikan. Cuma kalau bab makan, dia memang suka ‘paksa’ saya makan.
“Dia tahu saya memang tidak suka makan budu dan tak akan boleh terima, tetapi dia tetap ‘memaksa’ dengan caranya tersendiri.
“Paling tidak boleh diterima, dia siap kata yang semua menantu perempuan dan lelakinya makan budu dan suka makanan Kelantan, melainkan saya seorang,” katanya.
Jelasnya, ibu mentuanya yang tinggal bersamanya di ibu kota memang bersifat sedemikian, manakala suami juga tiada cara lain dan terpaksa ikut.
Ujar Anis, suaminya sebenarnya sangat memahami apa yang isterinya suka dan tidak terutama bab makanan.
“Pun begitu, bekas suami saya jenis anak emak dan semua yang ibunya cakap dia akan ikut walaupun terpaksa memaksa dan buat apa yang isterinya tidak suka.
“Contoh bab makan budu bila kami makan bersama, dia (suami) tetap nak saya makan seperti biasa kerana itulah simbolik bersuamikan lelaki dari negeri Kelantan,” katanya.
Mungkin sudah puas dan muak ‘menyuruh’ dan ‘memaksa’ tanpa henti sambil diapi-apikan ibunya, suami akhirnya ‘fed up’ dan tidak dapat manahan sabar.
Akhirnya saya diceraikan atas desakan ibu mentua atas alasan satu-satunya menantu perempuan yang tidak makan budu serta memalukan keluarga.
“Saya reda dengan keputusan suami yang nekad menceraikan saya atas alasan ‘bodoh’ dan tidak masuk akal itu.
“Bagi suami saya, ibu kandungnya adalah segalanya. Syurga juga terletak di bawah tapak kaki ibunya,” katanya.














