ALOR SETAR – Hotel kucing di sekitar bandar raya ini menjadi perhatian mangsa banjir untuk menempatkan haiwan peliharaan mereka walaupun ada yang terpaksa mengeluarkan kos sehingga ratusan ringgit.
Seorang pemilik premis hotel kucing, Shazana Mahazir, 36, berkata, premis yang diusahakan setahun lalu diserbu penggemar kucing atau ‘anak bulus’ itu sejak Jumaat lepas apabila banjir melanda daerah ini.
“Sehingga hari ini (semalam) sejak Jumaat minggu lalu, hotel kini menempatkan sebanyak 60 ekor kucing. Kira-kira 50 ekor daripadanya, pemilik terlibat banjir. Tuannya buat keputusan untuk menghantar kucing mereka ke sini kerana ada yang berpindah ke pusat penempatan sementara (PPS), ada juga ke rumah saudara-mara lain.
“Di Mak Bee Cat’s Hotel and Spa ini kami mampu memuatkan sehingga 100 ekor kucing dalam sesuatu masa. Sempena bencana banjir dan atas rasa prihatin kami tawar harga yang lebih murah kepada pelanggan supaya mereka tidak rasa terbeban.
“Ketika musim banjir yang lepas, ada yang mengambil masa lama untuk menyewa hotel sehingga menjangkau ratusan ringgit,” katanya ketika ditemui di Seri Mentaloon di sini semalam.
Katanya, premis itu turut menawarkan perkhidmatan ‘grooming’ kerana ada haiwan tersebut yang kotor sebab terjatuh ke longkang dan terkena hujan.
“Selain itu kami juga menerima pelanggan yang terjumpa kucing di jalan dan ada juga kucing yang diselamat dari lemas ketika banjir lalu hantar ke sini. Mereka sanggup membayar semua kos kucing itu,” katanya.
Seorang lagi pengusaha, Azahar Abd. Ghani, 27, berkata, premisnya turut menerima pelanggan terdiri mangsa banjir sejak Jumaat minggu lalu.
“Ada pelanggan datang dari Taman Aman hantar dua ekor kucingnya ke sini apabila rumah di Anak Bukit dinaiki air. Selain musim cuti sekolah atau haji, ramai juga yang hantar waktu bah.
“Mereka tidak kisah untuk mengeluarkan sedikit belanja selagi haiwan peliharaan mereka berada di tempat selamat,” kata pemilik TokWan Cat’s Hotel itu.














