SELEPAS 13 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool terus gah memimpin carta liga menerusi jurang sembilan mata dengan pasukan di tangga kedua, Arsenal.
Pada perlawanan Ahad lalu, Liverpool berjaya melebarkan jarak mata dengan juara bertahan EPL, Manchester City kepada 11 mata selepas menundukkan pasukan berkenaan 2-0 di Anfield.
Kedudukan Liverpool di puncak liga ketika ini didorong oleh kemampuan The Reds mencatatkan 11 kemenangan, satu seri dan sekali kalah dengan mata terkumpul 34.
Rentetan itu, superkomputer, Opta Analyst telah meramalkan Liverpool akan meraih gelaran EPL pertama mereka sejak 2019/20 pada musim ini dengan peluang sebanyak 60.32 peratus.
Opta Analyst juga meramalkan bahawa Liverpool mampu menamatkan dominasi City selama empat tahun, sekali gus membolehkan Arne Slot menjadi pengurus kelima EPL yang berjaya meraih kejuaraan pada musim pertama.
Otpa Analyst turut meramal bahawa City akan berada di tangga kedua, manakala Arsenal dijangka menamatkan saingan liga pada musim ini di kedudukan ketiga.
Prestasi hebat Liverpool di bawah kendalian jurulatih baharu, Slot itu turut mendapat perhatian ramai penganalisis bola sepak di Eropah.
Ramai menganggap jurulatih dari Belanda itu telah merosakkan reputasi seorang jurulatih baharu di EPL. Hal ini kerana Slot tidak memerlukan sebarang masa untuk membawa kelab menuju kejayaan.
Bahkan, bekas jurulatih Feyenoord itu juga tidak memerlukan sebarang pembelian pemain yang banyak dan mahal seperti pengurus-pengurus baharu lain di EPL.
Setakat ini, Slot hanya membawa masuk seorang pemain iaitu Federico Chiesa dari Juventus pada perpindahan musim panas lalu. Selebihnya, dia hanya mengitar semula pemain-pemain yang pernah digunakan oleh Jurgen Klopp.
Ia berbeza dengan beberapa pengurus baharu di EPL yang memerlukan masa sekurang-kurangan dua hingga tiga musim untuk membawa kejayaan kepada kelab.
Alasan mereka, kebanyakan pemain yang ada di kelab tidak sesuai dengan gaya permainan diterapkan. Ada juga pengurus yang memberi alasan, mereka memerlukan masa untuk mencungkil bakat muda.
Misalnya Pengurus Arsenal, Mikel Arteta yang memerlukan masa selama beberapa tahun untuk memulihkan skuad dengan meminta para peminat The Gunners percaya dengan slogan trust the process.
Malangnya, sampai ke hari ini, Arteta masih gagal menghadiahkan kejuaraan EPL untuk Arsenal, selepas kali terakhir pasukan itu memenanginya kira-kira 20 tahun lalu.
Terbaharu, Pengurus Manchester United, Ruben Amorim memaklumkan, dia memerlukan masa untuk menerapkan falsafah pemainannya termasuk formasi 3-4-3 kepada para pemain.
Amorim juga tanpa berselindung memaklumkan kepada wartawan bahawa EPL merupakan sebuah liga yang sukar selepas hanya mencatatkan keputusan seri 1-1 menentang kelab kerdil, Ipswich pada perlawanan sulungnya.
Sebagai peminat Liverpool, naluri penulis kuat mengatakan bahawa kelab Merseyside itu bakal meraih kejuaraan EPL pada akhir musim ini.
Bagaimanapun, The Reds tidak boleh berasa terlalu selesa kerana apa-apa sahaja boleh berlaku pada pertengahan dan akhir musim.














