fbpx
ZULKIFLI (kanan) menunjukkan kesan luka pembedahan Ayub ketika ditemui di rumahnya di Sentul semalam.

‘Ambillah buah pinggang ini wahai anakku’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Penderitaan seorang pesakit buah pinggang kronik bukan sahaja berakhir, malah dia akhirnya mampu merealisasikan impian menjadi seorang doktor perubatan hasil pe­ngorbanan bapanya yang mendermakan organ tersebut meskipun umurnya sudah mencecah 61 tahun.

Bukan itu sahaja, Ayub Abdul Ghani, 61, kini bebas daripada cengkaman rokok selama berpuluh tahun apabila terpaksa berhenti sebagai syarat untuk menjalani pemindahan tersebut.

Ayub menceritakan, dia tidak sanggup melihat anaknya, Muhammad Zulkifli, 27, terus terseksa apabila terpaksa menjalani peritoneal dialisis sebanyak empat kali sehari selama empat tahun kerana tidak dapat kencing seperti biasa.

Jelasnya, buah pinggang anaknya rosak tahap lima dan ketika itu dia masih menuntut dalam pengajian untuk menjadi doktor selama tujuh tahun.

Menurutnya, dia memulakan perjalanan berhenti merokok tiga bulan sebelum pembedahan dengan mengurangkan jumlah rokok daripada satu kotak sehari kepada separuh, kemudian hanya seminggu sekali, sebelum akhirnya berjaya berhenti sepenuhnya.

“Saya tidak sanggup melihat anak terseksa. Dia terpaksa menjalani peritoneal dialisis seba­nyak empat kali sehari, jadi saya nekad berhenti merokok dan dermakan buah pinggang untuk anak,” jelasnya ketika ditemui di rumahnya di Sentul semalam.

Ayub mengakui keputusan itu dibuat tanpa ragu-ragu meski­pun mengetahui risiko untuk menjalani pembedahan pemindahan organ di usia lanjut. Namun, demi melihat anaknya berjaya, dia nekad mengambil langkah itu.

Muhammad Zulkifli kini dapat menjalani kehidupan yang lebih sihat dan kembali meneruskan tugasnya sebagai doktor housemanship di Hospital Kota Bharu, Kelantan, satu kerjaya yang diimpikannya sejak kecil.

“Saya berasa sangat terharu dengan keputusan ayah yang sanggup memberi sebelah buah pinggangnya kepada saya.

“Saya terasa seperti ada sinar baru. Ayah bukan sahaja menyelamatkan nyawa saya, malah memberikan saya peluang kedua untuk meneruskan cita-cita saya dan hidup normal tanpa perlu menjalani dialisis,” kata Zulkifli.

Tambahnya, arwah ibunya juga seorang pejuang sakit buah pinggang, namun tidak berpeluang menjalani pembedahan pemindahan organ disebabkan faktor usia dan masalah kesihatan lain.

Pengorbanan Ayub membuktikan kasih seorang bapa tiada tandingan. Walaupun berdepan risiko, dia membuktikan pengorbanan boleh mengatasi segala kesulitan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN