BERALASAN tiada kelapangan, terkejar-kejar dengan masa dan tidak cukup dorongan untuk ke pawagam menghabiskan sekitar dua jam menonton sebuah filem hanya demi menyaksikan kemunculan hero zaman kanak-kanak menjadi pengganas yang tidak kesampaian, kemasukan naskhah Takluk Lahad Datu ke skrin ‘panggung’ di rumah sendiri tidak disia-siakan.
Sedikit ulasan, filem yang diinspirasikan daripada kisah benar tanpa menyebut lokasi berlakunya pertempuran sebenarnya di Sabah tersebut agak bagus tapi sayangnya kurang ‘menjerit’.
Dua kali penulis tercongok mencari-cari estetikanya karya tersebut, melihat askar komando dan polis kena tembak, ada yang ditetak dan dipenggal kepala. Berbeza perjuangan, aura pengganas dan penguat kuasa sama kuat.
Namun, di tangan dan di tempat yang salah, apa lagi di zon konflik, nyawa menjadi rapuh, sekelip mata hayat diragut. ‘Overthinking’ terfikir pula, biar peratusan mungkin tidak sampai suku, pekerjaan adakalanya menjadi talian ajal seseorang.
Askar dan pengganas tidak mati ditembak jika tidak berjuang mempertahankan misi di medan perang. Penunggang Grab, Foodpanda atau Lalamove tidak berdepan kecelakaan jalan raya jika bekerja di bilik berhawa dingin. Cuma, jika sudah ditakdirkan, nyawa tetap melayang tanpa mengira pekerjaan dan di mana keberadaan.
Berada dalam sektor tidak berbahaya juga boleh mendorong kematian, paling menyedihkan adalah ‘kematian jiwa’.
Lebih teruk jika nanti natijahnya memuncak membawa kemurungan kronik sehingga benar-benar mahu ‘mati’ sehingga menyalahkan takdir. Janganlah begitu.
Jadi apakah yang dimaksudkan dengan ‘kematian jiwa’, ada segelintir orang (mungkin ramai) umat manusia yang secara fizik masih bernafas normal, tetapi kehilangan semangat, harapan atau tujuan dalam hidup disebab banyak alasan.
Rutin statik, tiada kemajuan, hidup hanya berputar pada aturan jam tanpa makna bisa membuat seseorang hampa. Tekanan, kewangan yang menduga dan hubungan sesama manusia juga mengikis kebahagiaan dan semangat kita.
Kehilangan harapan, orang tercinta atau putus asa juga sering membuat seseorang ‘mati’ jiwa.
Kurang ikatan emosi, hidup tanpa hubungan bermakna, depresi dan gangguan mental atau trauma juga sering membuat seseorang berasa asing dalam keriuhan dunia.
Jika ada antara kita dalam situasi tersebut, itu bukan untuk menangis pengakhiran sebaliknya bersyukurlah kita hanya mati rasa, masih ada usaha bisa diatur untuk penyembuhan jiwa.
Sentiasa ingat, kita tidak boleh mengubah orang lain atau menghapuskan segala ‘masalah’ yang membunuh kita, namun kita boleh keluar mencari warna pelangi di satu sudut jiwa yang tidak pernah menua sampai hujung usia.
Meskipun ada masa-masa gelap, mencari cahaya dalam hal-hal kecil mampu menjadi awal untuk kembali ‘menghidupkan’ jiwa.
Hidup ini indah, untuk kesihatan mental dan jiwa, mungkin halal untuk persetankan seketika hambatan dunia dan jangan berhenti mencipta bahagia sendiri.














