KEADAAN persekitaran Kampung Umoja serupa dengan perkampungan lain di wilayah Samburu di Timur Laut Kenya.
Namun, kampung tersebut memiliki satu undang-undang ketat iaitu lelaki tidak dibenarkan tinggal di dalam sempadannya.
Umoja bermaksud ‘perpaduan’ dalam bahasa Swahili yang bermaksud sebuah kampung eksklusif wanita yang diketuai oleh Rebecca Lolosoli.
Di kampung tersebut, wanita memainkan peranan sepenuhnya sebagai pemimpin, pemilik rumah, usahawan dan penjaga komuniti.
Menurut salah seorang penduduk, Judia, kampung tersebut merupakan penyelamat dirinya setelah hampir dijual pada usia 13 tahun.
“Setiap hari saya bangun dengan senyuman kerana dikelilingi sokongan daripada seluruh penduduk kampung.
“Di luar kampung ini, wanita dikawal oleh lelaki, jadi mereka tidak boleh buat apa-apa perubahan. Di Umoja, kami memiliki kebebasan,” katanya.
Sejak ditubuhkan lebih 30 tahun lalu, Umoja menjadi tempat perlindungan untuk wanita daripada komuniti Samburu.
Semuanya bermula apabila Lolosoli dipukul oleh sekumpulan lelaki kerana kelantangannya memperjuangkan hak wanita di kampung lamanya.
Keganasan tersebut mengakibatkan Lolosoli terlantar di hospital, sekali gus membuatkan wanita itu nekad untuk membina komuniti wanita sahaja.
Kini, kampung yang pada asalnya dihuni oleh 14 orang wanita dan kanak-kanak itu sudah berkembang menjadi lebih 50 keluarga secara keseluruhannya.
Penduduk di kampung tersebut menjana pendapatan dengan menjual bunga manik tradisional kepada pelancong yang tinggal di tapak perkhemahan berdekatan.
Sebagai ketua kampung, Lolosoli gembira dapat menyediakan tempat untuk wanita yang sedang berusaha bangkit setelah dianiaya oleh kaum lelaki.
“Sejak menubuhkan kampung ini, tiada sesiapa beri tekanan kepada saya. Suami saya juga tidak dapat menyerang saya di sini.
“Saya tenang hidup sebagai ibu tunggal bersama anak-anak dan akan terus memperjuangkan isu perkahwinan awal serta amalan sunat dalam kalangan wanita,” katanya.
Sedikit latar belakang, komuniti Samburu berkait rapat dengan suku Maasai dan bercakap dalam bahasa yang sama.

Mereka biasanya tinggal dalam kumpulan lima hingga 10 keluarga dan merupakan penggembala separa nomad.
Mereka mengamalkan sistem patriarki yang ekstrim sehingga wanita tidak dibenarkan untuk menyatakan pendapat dalam proses pembuatan keputusan.
Dalam budaya Samburu, barang kemas berhias manik bukan sahaja hiasan penting, malah memiliki simbol tertentu.
Kanak-kanak perempuan mendapat kalung pertama mereka daripada bapa mereka dalam upacara yang dikenali sebagai ‘manik’.
Si bapa memilih lelaki ‘pahlawan’ lebih tua untuk dikahwinkan dengan anak perempuan mereka yang masih kecil.
Anehnya, kanak-kanak yang telah berkahwin tersebut tidak dibenarkan hamil, namun tiada sebarang kontraseptif disediakan.
Sekiranya seorang kanak-kanak itu didapati hamil, wanita-wanita di kampung akan tolong menggugurkan kandungan tersebut.
Milka yang merupakan ketua sekolah akademi di Umoja berkata, pengguguran kandungan dilakukan kerana gadis tersebut dianggap masih belum bersedia menjadi ibu.
“Seorang kanak-kanak yang melahirkan anak akan mengalami pendarahan teruk kerana badan mereka masih kecil.
“Mereka juga akan menghadapi kesukaran untuk menjaga anak. Oleh itu, mereka hanya diberi kepercayaan untuk menjaga haiwan ternakan,” ujarnya.
Sementara itu, salah seorang penduduk Kampung Umoha, Jane berkata, dia datang ke kampung tersebut selepas dirogol oleh tiga lelaki yang memakai pakaian uniform askar Gurkha.
Ketika serangan berlaku, wanita berusia 48 tahun itu sedang menggembala kambing dan biri-biri milik suaminya sambil membawa kayu api.
Menurut Jane, perasan malu menyebabkan dirinya merahsiakan peristiwa malang tersebut sebelum akhirnya nekad meluahkan pada suaminya.
“Malangnya, setelah saya beritahu suami tentang perkara yang berlaku, dia bertindak memukul saya dengan rotan.
“Sejak itu, saya nekad untuk lari dari kampung berkenaan dan datang ke sini bersama anak-anak saya,” jelasnya.
Kewujudan Kampung Umoja sering menerima ancaman keganasan daripada kaum lelaki yang tinggal berdekatan.
Kebanyakan ancaman datang daripada para suami yang mahu isteri mereka segera meninggalkan Kampung Umoja dan pulang ke rumah.
Bahkan, Lolosoli sendiri menerima ancaman bunuh, namun wanita tersebut tidak bersendirian dalam usahanya memperjuangkan kesamarataan gender.
Wanita tersebut dijemput oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghadiri persidangan dunia mengenai pemerkasaan gender di New York, Amerika Syarikat.
Katanya, ancaman tersebut hanyalah satu usaha untuk menakut-nakutkan dirinya sahaja.
“Apabila saya mula mendapat perhatian dunia, kaum lelaki mula cemburu. Mereka terus terang mahu membunuh saya.
“Pada saya, mereka hanya bersifat dramatik kerana mereka tidak akan berani berhadapan dengan undang-undang dunia,” ujarnya.
Kebanyakan wanita tidak dapat membayangkan hidup bersama seorang lelaki lagi selepas mereka tinggal di Umoja.
Di Umoja, wanita dibenarkan untuk memilih pasangan mereka sendiri dan perlu meninggalkan kampung tersebut apabila berkahwin.
Kanak-kanak lelaki juga dibenarkan tinggal di kampung tersebut, namun perlu berpindah keluar apabila mencapai usia dewasa.
Bagi mereka yang tidak mahu berkahwin tetapi mengandung dan memiliki anak, mereka dibenarkan untuk tinggal di kampung tersebut.
Wanita-wanita ini dipercayai berjumpa dengan lelaki ketika mereka keluar ke pekan untuk membeli barang atau bersiar-siar.
Kongsi seorang wanita muda bernama Marry, dia memiliki lima anak dengan lima bapa berbeza.
“Dalam budaya kami, tidak manis sekiranya seseorang wanita itu mengandung tanpa berkahwin.
“Tetapi dalam budaya kami juga, hidup wanita tanpa anak adalah satu perkara yang sia-sia,” ujarnya.














