RAMAI menganggap bahawa untuk menjadi pelari yang laju, seseorang perlu sentiasa berlatih larian pada kelajuan tinggi.
Namun, konsep ‘lari perlahan untuk lari laju’ membuktikan sebaliknya.
Latihan perlahan ini adalah strategi yang terbukti berkesan dalam meningkatkan kelajuan larian dan daya tahan seseorang. Larian perlahan bukan sahaja membantu membina daya tahan dan mengurangkan risiko kecederaan, tetapi merupakan asas penting untuk mencapai kelajuan lebih tinggi.
Dengan memahami bagaimana larian perlahan membentuk program latihan yang berkesan, pelari dapat mengoptimumkan potensi mereka untuk berlari lebih laju dan konsisten.
Lari jarak jauh atau maraton memerlukan kombinasi kekuatan fizikal, daya tahan dan strategi yang tepat.
Banyak pelari elit termasuk pelari terpantas marathon di dunia, Eliud Kipchoge menggunakan pendekatan lari perlahan dalam latihannya.
Meskipun beliau dikenali dengan kelajuannya yang luar biasa, Kipchoge banyak berlatih pada intensiti rendah untuk mengekalkan tenaga dan mengelakkan kecederaan.
Ini membolehkan beliau mencapai prestasi terbaik dalam perlumbaan sebenar. Lari perlahan atau sering dikenali sebagai ‘larian aerobik’, adalah larian pada intensiti rendah, di mana kadar denyutan jantung dikekalkan sekitar 60 hingga 70 peratus daripada kadar maksimum pelari.
Ia dilakukan pada kelajuan selesa, di mana pelari masih boleh berbual tanpa sesak nafas. Tujuan utama larian ini bukan untuk mempercepatkan tempo tetapi membina kapasiti kardiovaskular dan daya tahan.
Untuk memahami bagaimana lari perlahan membantu dalam berlari laju, kita perlu tahu asas-asas fisiologi seseorang sewaktu larian.
Larian perlahan sering dirujuk sebagai easy run iaitu larian pada kadar intensiti rendah atau sederhana.
Biasanya, ia merujuk kepada larian pada zon denyutan jantung yang rendah atau zon aerobik, di mana tubuh menggunakan oksigen untuk menghasilkan tenaga secara berterusan tanpa mengalami keletihan melampau.
Namun, persoalan yang sering timbul adalah sebab perlu berlari perlahan untuk berlari laju?
Jawapannya, terletak pada cara tubuh manusia menyesuaikan diri dan meningkatkan kecekapan daya tahan kardiovaskular semasa latihan jangka panjang. Larian perlahan bukan sahaja membantu mengelakkan kecederaan tetapi memperkuatkan sistem kardiovaskular, meningkatkan daya tahan otot dan menggalakkan penyesuaian fisiologi yang diperlukan untuk berlari lebih pantas.
Larian perlahan membolehkan tubuh membina daya tahan tinggi melalui pelbagai proses fisiologi.
Terdapat beberapa komponen penting yang berlaku semasa larian perlahan dan bagaimana ia mempengaruhi keupayaan kita untuk berlari laju seperti meningkatkan kapasiti aerobik, peningkatan penggunaan lemak sebagai sumber tenaga dan mengurangkan risiko kecederaan,
Larian perlahan berada di zon aerobik yang merupakan zon latihan, di mana jantung dan paru-paru bekerja dengan kecekapan optimum untuk menghantar oksigen ke otot.
Latihan pada kadar ini memperkuatkan jantung dan meningkatkan jumlah darah beroksigen yang dipam dalam setiap denyutan atau dikenali sebagai stroke volume.
Ini bermakna lebih banyak oksigen dihantar ke otot dengan usaha yang minimal bagi membolehkan pelari mengekalkan kelajuan lebih tinggi dengan usaha kurang.
Larian perlahan juga membantu meningkatkan keupayaan tubuh untuk menggunakan lemak sebagai tenaga.
Dalam larian berkelajuan tinggi, tubuh cenderung menggunakan karbohidrat sebagai sumber tenaga utama, tetapi simpanan karbohidrat dalam badan manusia adalah terhad.
Dengan melatih badan untuk menggunakan lemak dengan lebih cekap semasa larian perlahan, pelari dapat menyimpan karbohidrat mereka untuk fasa-fasa akhir larian yang lebih mencabar.
Ini amat penting dalam perlumbaan jarak jauh seperti maraton, di mana sumber tenaga perlu diurus dengan bijak. Salah satu faktor yang sering diabaikan dalam larian adalah risiko kecederaan. Lari laju secara berterusan tanpa mengira intensiti boleh menyebabkan tekanan berlebihan pada sendi, otot, dan ligamen.
Larian perlahan membolehkan pelari mengekalkan rutin latihan yang konsisten tanpa menambah beban terlalu besar kepada tubuh.
Latihan yang konsisten dalam jangka masa panjang tanpa terganggu oleh kecederaan adalah kunci untuk meningkatkan prestasi.
Ramai pelari terutama yang baharu sering beranggapan bahawa cara terbaik untuk berlari lebih pantas adalah dengan berlari laju setiap kali latihan.
Pendekatan ini bukan sahaja tidak efektif, tetapi juga boleh mengakibatkan kecederaan dan keletihan melampau.
Latihan pada kelajuan yang tinggi memerlukan masa pemulihan yang lebih lama dan meningkatkan risiko ketegangan otot serta kelesuan kronik.
Sebaliknya, larian perlahan adalah lebih efektif dalam meningkatkan kelajuan larian seseorang. Struktur latihan 80/20 mencadangkan bahawa 80 peratus daripada latihan anda harus dilakukan pada intensiti rendah hingga sederhana, manakala hanya 20 peratus dilakukan pada intensiti tinggi.
Terdapat beberapa cara larian perlahan yang dapat membantu pelari mencapai kelajuan yang lebih pantas iaitu membangun asas daya tahan aerobik kuat, memperbaiki sistem pemulihan, mengurangkan risiko keletihan kronik dan meningkatkan keupayaan mental.
Larian perlahan meningkatkan daya tahan aerobik, yang merupakan asas kepada semua aktiviti fizikal. Tanpa daya tahan asas yang kukuh, pelari akan cepat keletihan apabila berlari pada kelajuan lebih tinggi.
Larian perlahan memastikan otot dan sistem kardiovaskular mampu bertahan lebih lama, sekali gus membolehkan pelari mengekalkan kelajuan lebih tinggi dalam tempoh lama.
Kesimpulannya, ‘lari perlahan untuk lari laju’ adalah strategi yang terbukti berkesan untuk meningkatkan prestasi serta daya tahan.














