Kawasan simpang empat atau simpang tiga yang dilengkapi lampu isyarat sepatutnya menjadi tempat paling selamat bagi semua pengguna jalan raya berbanding lokasi lain yang tiada kemudahan itu.
Bagaimanapun, kawasan yang dilengkapi lampu isyarat boleh menjadi tempat paling berbahaya buat pemandu kereta mahupun penunggang motosikal.
Kita tidak boleh lagi percaya bulat-bulat dengan lampu isyarat. Lampu kuning tanda bersedia, lampu merah isyarat berhenti dan lampu hijau pula jalan.
Ini kerana tidak semua pengguna yang berada di atas jalan raya itu mematuhi undang-undang, sebaliknya ada yang kaki mabuk, kaki ‘lalok’ dadah, kaki lumba dan masalah mental.
Mungkin juga ada antara pemandu kereta atau penunggang motosikal yang buta warna sehingga tidak dapat membezakan warna merah dan hijau.
Sebab itulah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengadakan ujian warna hijau dan merah semasa calon menduduki ujian komputer bagi mendapatkan lesen L.
Selain itu, ada juga manusia apabila nampak lampu isyarat kuning, mereka akan memecut kenderaan dengan lebih laju, bukannya bersedia untuk berhenti.
Paling ramai yang melanggar lampu merah adalah penunggang motosikal terutama rider penghantar makanan dan barangan, seolah-olah ia sudah menjadi budaya.
Kejar trip untuk menghantar tempahan antara punca utama mereka sanggup membahayakan diri sendiri dan juga orang lain.
Paling bahaya pula apabila kereta yang melanggar lampu merah dan kemudian merempuh penunggang motosikal. Impak kemalangan amat dahsyat.
Kereta yang melanggar lampu merah kebiasaannya dipandu laju. Apabila kereta menghentam motosikal dari sisi tepi, penunggangnya pasti melambung.
Ini menyebabkan keberangkalian penunggang motosikal mendapat kecederaan parah dan juga kematian lebih tinggi.
Sabtu lalu, sepasang suami isteri yang menaiki motosikal maut dirempuh sebuah Perodua Alza yang melanggar lampu merah di simpang empat di Jalan Besar/Jalan Mesjid, Pasir Gudang,
Johor Bahru dalam kejadian pukul 4 pagi.
Keadaan pasangan suami isteri itu sungguh menyayat hati angkara tindakan pemandu yang dipercayai mabuk ketika memandu. Lima anak mangsa yatim piatu sekelip mata.
Ini bukan kes pertama, malah sebelum ini banyak dilaporkan kejadian maut berpunca daripada melanggar lampu merah. Suami jadi duda, isteri jadi janda dan anak-anak jadi yatim piatu.
Disebabkan itu, jangan mudah percaya dengan lampu isyarat. Walaupun lampunya bertukar hijau, pengguna perlu berwaspada dengan memandang kiri, kanan dan depan termasuk ketika berada di tengah persimpangan jalan.
Kita patuh undang-undang tetapi orang lain pula melanggar lampu merah. Hukuman lebih berat perlu dikenakan, denda RM300 tidak mampu mendidik pesalah lampu isyarat, kesalahan akan tetap berulang.
Saman minimum RM1,000 dan hukuman penjara jika melibatkan kematian akan membuatkan lebih ramai takut melanggar lampu merah.














