ALOR SETAR – Lebih ramai golongan muda termasuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dikhuatiri mengalami psikosis atau gangguan mental yang teruk angkara cecair khayal, magic mushroom.
Setiausaha Agung Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (MASAC), Raja Azizan Raja Suhaimi berkata, ia berikutan penyalahgunaan magic mushroom yang juga dikenali sebagai ‘pedem’ semakin berleluasa kerana ia mudah didapati serta dijual pada harga murah.
“Mereka beli dalam botol kecil berisi 10 mililiter (ml) cecair pedem pada harga kira-kira RM100 sebelum menjualnya semula kepada kawan-kawan secara titik dalam ‘pasaran gelap’. Ada yang jual setitik RM5 sahaja.
“Telefon sahaja (tokan) boleh hantar sehingga ke depan kolej. Pedem ini juga dijual dalam pelbagai kuantiti secara terbuka di media sosial. Saya difahamkan ada yang buat sendiri cecair itu untuk dipasarkan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Kata beliau, kebanyakan orang muda terjebak dalam penagihan pedem akibat pengaruh kawan, selain ada kes yang ‘dijerat’ rakan sendiri.
“Saya tidak menolak ada yang mahu kenakan rakan dengan tawarkan vape berisi magic mushroom kepadanya. Tanpa mengetahui ia berisi cecair khayal, dia hisap dan akhirnya terjebak dengan bahan tersebut,” ujarnya.
Kata beliau, magic mushroom itu berasal daripada spesies cendawan dalam genus psilocybe yang mengandungi bahan aktif utama psilocybin yang sangat kuat.
“Bahan itu akan mengakibatkan orang yang mengambilnya berhalusinasi dan penggunaan dalam jumlah banyak boleh menyebabkan individu itu mengalami masalah mental sehingga memerlukan rawatan psikiatri.
“Mereka meracau-racau seperti kena sampuk, malah ada kes pelajar tidak sedarkan diri selepas mengambil bahan tersebut,” ujarnya.
Mengulas lanjut, katanya, selain bahan psilocybin, mereka juga terdedah kepada dadah sintetik dalam bentuk cecair.
“Penagihan dadah dalam bentuk cecair menerusi penggunaan vape ini sangat menakutkan kerana boleh diambil secara terbuka kerana tiada siapa tahu bahan di dalamnya,” jelasnya.
Tambahnya, magic mushroom merupakan bahan psikoaktif baharu atau new psychoactive substances (NPS) yang tidak dapat dikesan menerusi ujian air kencing kerana bahan itu belum digazetkan sebagai dadah di negara ini.
Dalam pada itu, tinjauan di media sosial, pati padu mushroom dijual dalam kuantiti antara 3 ml hingga 1 liter pada harga RM50 hingga RM14,000.
Iklan itu juga menjanjikan ‘urine clear’ dan ‘tak padu tak ngam, kita refund’.
Kosmo! pada 11 November lalu melaporkan, penggunaan dadah dalam kalangan orang muda tidak hanya tertumpu kepada pil kuda, syabu dan ganja, malah dadah jenis magic mushroom yang boleh diperoleh pada harga serendah RM1 turut menjadi kegilaan golongan tersebut. – KOSMO! ONLINE














