fbpx
Akibat ingin nampak mewah, ramai anak muda dibebani hutang tinggi.

Baru kahwin sudah tanggung hutang keliling pinggang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Pasangan suami isteri muda bawah 30 tahun dikatakan sanggup menanggung beban hutang mencecah RM4,000 sebulan demi kepuasan diri, mahu hidup bahagia dan nampak mewah.

Mereka terdiri dalam kala­ngan peniaga dan jurutera syarikat swasta mendakwa hanya berpegang pada prinsip hidup hanya sekali, janji ada depan mata dan nikmati apa yang diinginkan selagi mampu.

Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Awi, 23, berkata, dia kini menanggung hutang hampir RM4,200 sebulan selepas mendirikan rumah tangga tiga tahun lalu.

Dakwa bapa kepada dua anak berusia tiga dan setahun itu, jumlah hutang tersebut berbeza tiga kali ganda sewaktu dia masih bujang iaitu hanya RM600 sebulan.

“Sebelum kahwin, saya hanya ada hutang motosikal bernilai RM300 dan talian telefon RM300 sebulan. Jumlah hutang me­ningkat dengan ketara dua tahun lalu selepas setahun mendirikan rumah tangga dan membuka perniagaan sendiri.

“Semuanya terjadi angkara minat, mahu ikut trend, rasa diri mampu berhutang walaupun kadangkala terasa terbeban, tetapi tetap mahu menikmatinya selagi terdaya dan belum terlambat (usia masih muda).

“Antara hutang yang ditanggung sendiri adalah ansuran bulanan kereta Honda City (hatchback) (RM1,074), sewa rumah (RM700), Iphone (RM300), pengasuh dua anak (RM800), hutang perabot di platform e-dagang (RM200), penapis air (RM100) dan pinjaman peribadi (RM1,010),” ujarnya.

Sementara itu, bebanan hutang yang banyak turut ditanggung pasangan dikenali Adi, 25 dan isterinya, Ain, 24, dari Klang, Selangor hanya selepas setahun mereka mendirikan rumah tangga.

Menurut Adi yang bekerja di sektor swasta, kehidupannya bersama isteri pada mulanya agak sempurna apabila mereka mampu mengimbangi perbelanjaan hasil gaji sebanyak RM3,500 yang diperoleh.

Bagaimanapun katanya, situasi berubah pada tahun kedua mereka mendirikan rumah tangga terutama selepas berpindah ke rumah baharu yang disewa pada harga RM850 sebulan.

“Ketika itu semua benda kami mahu beli. Perabot dan alat-alat elektrik semua dibeli dengan cara bayaran ansuran setiap bulan. Memang nampak mewah, tetapi hakikatnya kami perlu tanggung beban hutang hampir RM3,000 sebulan,” katanya.

“Apa yang berlaku ini mungkin juga sebab kesilapan saya dalam mengurus kewangan. Saya membuat pinjaman peribadi untuk majlis perkahwinan kami dan menghabiskan semua duit simpanan yang ada selepas setahun berkahwin,” jelasnya.

Pada 1 Oktober lalu, Menteri Kewangan ll, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata, seramai 53,000 individu berumur bawah 30 tahun didapati dibebani hutang terkumpul berjumlah hampir
RM1.9 bilion.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN