fbpx
PENGGUNA perlu bijak dan tidak menjadikan media sosial sebagai alat untuk menghina atau mengaibkan orang lain. - GAMBAR HIASAN

Boleh komen tapi jangan sampai menghina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Pelbagai platform media sosial seperti Facebook, TikTok, Instagram boleh dikatakan memberi impak yang begitu besar kepada seseorang.

Ada yang menggunakannya untuk mencari rezeki, namun ada juga yang menjadikan media sosial untuk mengaibkan orang lain melalui kata-kata kesat dan melampau.

Antara golongan yang kerap menjadi mangsa sudah tentulah selebriti, tokoh politik dan pempengaruh sehingga ada dalam kalangan mereka terpaksa mengambil tindakan undang-undang demi membersihkan nama.

Hakikatnya, penghinaan yang dibuat di media sosial itu sebenarnya boleh menjejaskan reputasi dan kehidupan peribadi si mangsa?

Peguam Muhammad Amin Abdullah berpandangan, jika seseorang itu merasakan komen-komen yang diberikan terlalu melampau, tindakan saman sivil boleh diambil kepada orang awam atau netizen.

“Fitnah yang dilontarkan boleh mengakibatkan reputasi seseorang itu terjejas. Kesannya dia mungkin boleh dibuang kerja, dicemuh keluarga atau jiran selain mengakibatkan perniagaan seseorang itu terkesan,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Amin memaklumkan, selain tindakan saman di mahkamah sivil, seseorang itu juga boleh dituduh di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan kerana membuat atau menerbitkan kenyataan tidak benar yang akan atau menjejaskan reputasi orang lain.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai dua tahun atau denda.

“Tindakan juga boleh diambil pendakwaan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 juga boleh diambil sekiranya komen-komen yang dibangkitkan adalah bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya bagi tujuan menyakitkan hati, menganiyai, mengugut atau mengganggu orang lain,” ujarnya lagi.

Justeru, bagi mengelak daripada dikenakan apa-apa tindakan, netizen sendiri perlu berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan terutama di media sosial.

Dalam situasi terbaharu, seperti dilaporkan media, pelakon Nur Fazura telah membuat laporan polis berhubung kenyataan fitnah yang dimuat naik seorang wanita di Instagram.

Fazura, 41, bagaimanapun tidak mendedahkan butiran terperinci mengenai fitnah yang dibuat pengguna media sosial berkenaan.

Sebelum itu, pelakon Janna Nick turut menjadi sasaran keceluparan netizen sehingga dia terlalu emosional dan menitiskan air mata saat berbicara soal zuriat.

“Pagi ini saya sangat terkesan dengan satu komen. Biasanya saya tak kisah kalau orang komen-komen fasal bila nak ada anak, tapi untuk komen yang mengatakan suami saya memiliki hormon wanita yang tinggi hingga menyebabkan mereka sukar mendapat zuriat ia sangat kurang ajar. Kami dah buat macam-macam untuk dapatkan zuriat. Apabila orang tanya saya, bila nak dapat anak, anda ingat saya tak tanya pada diri sendiri ke?” katanya.

Penulis pasti, selebriti juga mempunyai perasaan seperti kita yang mempunyai hati dan maruah.

Komen boleh tapi jangan sampai memfitnah dan menghina sehingga mendatangkan aib yang memudaratkan mangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN