fbpx
SYAFIQ KAIL bukan saja aktif memancing, malah dia turut mengambil upah membaiki mesin reel bagi menjana pendapatan sampingan.

K2

Syafiq Kail jana hasil sebagai mekanik ‘reel’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEMANCING merupakan salah satu terapi buat pemuda itu bagi menghilangkan tekanan bekerja.

Hobi itu sudah dipupuk sejak kecil oleh bapanya yang juga merupakan seorang ‘kaki pancing’ dan mereka sering melakukan aktiviti tersebut bersama.

Menurut pemuda berasal dari Kapar, Klang, Mohd. Syafiq Jamaan, 37, memancing sama ada di pantai, laut atau kolam memberikan kepuasan yang berbeza buat dirinya.

“Sejak kecil, ayah selalu bawa saya memancing dan awalnya kami sering ke pesisir pantai.

“Selepas itu, kolam ikan komersial menjadi trend dan kami turut pergi ke sana untuk memancing.

“Ayah banyak mempengaruhi minat saya dalam memancing, namun apabila sudah meningkat dewasa dan bekerja, saya menjadikan aktiviti ini sebagai terapi untuk mengisi masa lapang,” katanya.

Dia yang mesra disapa Syafiq Kail berkata, hobi memancing sudah sebati dengan dirinya dan tidak kira di mana.

“Biarpun sedang menjalankan tugasan luar, namun saya tetap akan mencari peluang untuk memancing di kawasan tersebut,” ujarnya.

Kongsinya lagi, dia selesa berkunjung ke kolam ikan berhampiran rumah kerana lebih mudah serta tidak memerlukan sebarang perancangan awal seperti menempah bot dan sebagainya.

Mengakui mudah mabuk laut, Syafiq Kail juga mengatakan, memancing di kolam juga mempunyai risiko lebih rendah, tetapi masih boleh memberikan tentangan mengujakan ketika beraksi.

“Kalau memancing di kolam, saya gemar memburu ikan jenahak, siakap merah dan lain-lain spesies yang agresif dan mencabar.

SYAFIQ KAIL (kiri) bersama ikan jenahak yang berjaya didaratkannya.

“Sekali-sekala, saya berkunjung ke tasik atau kolam luar untuk memancing ikan toman atau siakap liar yang mempunyai cabaran tersendiri,” ujarnya.

Ujar Syafiq Kail, selain memburu ikan di kolam memancing, hobi tersebut juga telah membuka pintu rezeki kepadanya sebagai mekanik mesin memancing atau reel.

Jelasnya, pekerjaan sambilan itu bermula kerana minatnya dalam menjaga peralatan pancing sendiri dan membaikinya andai berlaku kerosakan.

Awalnya, Syafiq Kail belajar membaiki alat pancing daripada orang-orang lama, sebelum dia menyertai sebuah akademi iaitu Fishing Buddy untuk mendalami ilmu menyelenggara mesin memancing.

“Mesin reel merupakan peralatan penting dalam memancing, di mana ia perlu diselenggara dan dijaga agar tidak mudah rosak.

“Bagi kaki pancing yang kerap memancing, mereka perlu melakukan penyelenggaraan dengan kerap kerana mesin reel ini mudah rosak terutamanya kalau kerap ‘memburu’ di laut,” kongsinya.

Dalam penjagaan mesin, reel perlu dilap bersih setiap kali selepas memancing bagi mengelak bahagian dalamnya rosak atau tersekat.

Katanya, jika memancing di laut, air masin boleh menyebabkan bahagian dalam cepat berkarat dan tersekat kerana kristal garam yang terbentuk di dalamnya.

Sebaiknya, penyelenggaraan perlu dilakukan tiga bulan sekali bagi mereka yang jarang memancing atau selepas 12 hingga 15 kali memancing bagi pemancing aktif.

Syafiq Kail memberitahu, dia biasanya akan melihat kondisi mesin reel terlebih dahulu sebelum membuat pembaikan.

“Kalau masih boleh diselamatkan, saya akan maklumkan kepada pelanggan dan mereka perlu membayar kos semua alat ganti yang diperlukan termasuk upah.

“Namun, jika sebaliknya, saya sarankan mereka supaya beli baharu saja.

“Biasanya, kos membaiki mesin reel boleh mencecah ratusan ringgit, namun bergantung kepada jenis dan model.

“Bagi penyelenggaraan pula, biasanya saya akan kenakan caj antara RM60 hingga RM100,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN