fbpx
RAZALI memeriksa tong pelampung yang dipasang di bawah rumah sebagai persediaan menghadapi banjir di Kampung Pagi di Jerantut semalam.

‘Biar habis RM10,000, asal rumah tak tenggelam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JERANTUT – Penduduk Kampung Pagi, Ulu Tembeling yang tinggal di pesisir Sungai Tembeling di sini terpaksa mengeluarkan belanja antara RM5,000 hingga RM10,000 bagi persediaan berhadapan musim tengkujuh yang dijangka pada bulan ini.

Sebilangan rumah, kedai makan dan kedai runcit di kampung itu yang dibina berdekatan sungai mudah dibanjiri air setiap kali hujan lebat yang sering mengakibatkan air sungai melimpah.

Susulan itu penduduk bersiap-siaga dengan memasang tong plastik di rumah masing-masing supaya dapat mengapungkan rumah dan premis masing-masing sekiranya banjir melanda.

Seorang warga emas Kampung Pagi, Razali Malek, 63, berkata, dia telah memasang 26 buah tong sebagai pelampung yang dibeli dengan harga RM55 sebuah sebagai tambahan menggantikan tong lama bagi mengelakkan kediamannya tenggelam ketika banjir.

“Saya sudah beringat lebih awal ketika membina rumah ini tiga tahun lalu, saya menggunakan tong pelampung dipasang di bawah lantai yang mampu bertahan daripada ancaman banjir.

“Kos bahan binaan rumah dan menyediakan tong hampir RM3,000 antara usaha keselamatan ketika berdepan bencana banjir,” katanya di Kampung Pagi di sini semalam.

Bapa kepada lima anak itu berkata, mahu tidak mahu semua penduduk yang tinggal di pesisir Sungai Tembeling yang berisiko dilimpahi air terpaksa berbelanja besar menyediakan tong pelampung dan keperluan keselamatan tertentu.

“Cara ini (memasang tong pelampung) harta benda kita lebih selamat ketika banjir malahan kedai atau rumah akan ditambat pada pokok menggunakan tali besi yang kuat bagi mengelakkan dihanyutkan air deras,” katanya.

Sementara itu, pengusaha ternakan ikan sangkar Kampung Bantal, Zaimi Ali, 60, berkata, dia sudah menggantikan tong pelampung dipasang pada sangkar ternakannya supaya kukuh dan tahan apabila berdepan arus deras Sungai Tembeling.

“Hal ini menjadi rutin dalam kalangan penternak setiap kali penghujung tahun ketika mula berlaku musim tengkujuh de­ngan mengutamakan keselamatan ternakan ikan patin dan ikan tilapia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN