fbpx
SIAPA golongan T15 yang dikatakan tidak akan menerima subsidi masih menjadi topik perbualan masa kini.

Siapa sebenarnya layak digelar T15?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJAK Belanjawan 2025 dibentangkan, golongan T15 menjadi tumpuan apabila mereka tidak lagi akan menerima manfaat subsidi.

Kumpulan ini ditakrifkan sebagai golongan ‘maha kaya’ dan berdasarkan penetapan oleh Jabatan Perangkaan (DOSM), paras ambang pendapatan T15 adalah RM13,000.

Pelbagai pihak mengeluarkan pendapat, ada yang menyokong dan ada juga yang mendakwa tindakan itu sebagai tidak wajar.

Felo Penyelidik Pasca Siswazah di Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya, Dr. Mohd. Khairi Ismail berkata, secara asasnya, golongan T15 dalam konteks
kelas pendapatan di Malaysia merujuk kepada kumpulan isi rumah dengan pendapatan bulanan tertentu.

Menurutnya, golongan T15 biasanya digunakan untuk merujuk kepada 15 peratus teratas dalam pembahagian pendapatan, yang menunjukkan kumpulan yang mempunyai pendapatan tertinggi dalam masyarakat.

“Kumpulan ini sering kali terdiri daripada individu atau keluarga dengan pendidikan tinggi, pekerjaan profesional, atau pemilik perniagaan yang berjaya.

“Mereka biasanya mempunyai akses kepada sumber dan peluang yang lebih baik berbanding golongan pendapatan rendah,” katanya.

Tambahnya, selain itu, golongan T15 tidak dianggap miskin, sebaliknya mereka adalah kumpulan yang mempunyai pendapatan tertinggi dalam masyarakat.

Dalam konteks pendapatan, golongan ini biasanya menikmati taraf hidup yang lebih baik, dengan akses kepada pendidikan, kesihatan, dan peluang pekerjaan yang lebih baik.

Bagaimanapun, ia perlu juga mengambil kira keadaan semasa yang dihadapi oleh golongan ini.

Mohd. Khairi menjelaskan, sebagai contoh, golongan T15 tanpa tanggungan boleh dikatakan ‘maha kaya’ berbanding mereka yang berkeluarga.

“Selain itu, terdapat isi rumah yang dikategorikan golongan T15 hasil daripada jumlah pendapatan suami isteri.

“Hal ini pasti menunjukkan perbezaan realiti hidup yang sebenar meskipun mereka berada dalam kategori pendapatan yang sama.

“Contohnya, seorang individu bujang dalam golongan T15 mungkin mempunyai pendapatan tinggi dan dikatakan maha kaya’,” jelasnya.

Tambahnya, bagi golongan T15 mempunyai tanggungan besar dan tinggal di kawasan bandar, situasi kewangan mereka mungkin tidak sebaik individu golongan T15 yang tidak mempunyai tanggungan.

Justeru, Mohd. Khairi berpendapat, pengkelasan mengenai golongan T15 perlu diperhalusi bagi memastikan penyasaran subsidi yang akan dibuat oleh kerajaan adalah adil kepada semua pihak.

“Secara umum, golongan T15 tidak memerlukan bantuan kewangan, kerana mereka berada dalam kumpulan pendapatan tertinggi dan biasanya mempunyai sumber yang mencukupi untuk menyokong gaya hidup mereka.

“Namun, ada situasi tertentu di mana individu dalam golongan ini mungkin memerlukan bantuan, seperti dalam kes kesihatan, pendidikan anak, atau masalah kewangan yang tidak dijangka,” terangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN