PETALING JAYA – Sebahagian besar daripada 5,500 rakyat Malaysia yang menghidap Skizofrenia dan enggan meneruskan rawatan, berisiko menjadi ancaman kepada masyarakat yang terdedah kepada kes pembunuhan dan mencederakan.
Pesakit mental itu berupaya bertindak ganas tanpa diduga kerana mendengar bisikan mendorong perlakuan negatif seperti membunuh atau mencederakan orang lain yang dianggap sebagai hantu atau berniat buruk kepada mereka.
Mengikut rekod, kira-kira 547,400 individu atau 2.3 peratus daripada 23.8 juta penduduk Malaysia berusia 15 hingga 64 tahun didapati menghidap sakit mental yang serius.
Daripada jumlah tersebut, satu peratus atau sekitar 5,500 individu menghidap penyakit mental psikotik seperti Skizofrenia.
Pakar Perunding Psikiatri dan Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Prof. Datuk Dr. Andrew Mohanraj mendedahkan, penghidap Skizofrenia kurang mendapatkan rawatan susulan berbanding mereka yang mengalami anxiety (resah) dan depresi (kemurungan).
Katanya, ia berlaku disebabkan penghidap Skizofrenia dan Bipolar Disorder kurang kesedaran selain lebih cederung kepada rawatan tradisional dan mempunyai stigma buruk apabila dilabel pesakit mental.
“Mereka ini tidak ramai tetapi boleh mendatangkan kesan besar kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.
“Biasanya, bisikan yang didengari lebih mendorong kepada perlakukan negatif kerana kes positif amat jarang berlaku. Ada situasi bisikan kata pesakit itu sebagai beban atau bodoh hingga mendorong perbuatan membunuh diri,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut Andrew, ada juga pesakit mendengar bisikan menganggap orang lain adalah hantu atau berniat buruk sebelum mereka mengambil keputusan membunuh atau mencederakan mereka.
Tambahnya, risiko lebih ramai individu atau masyarakat tercedera mungkin dapat dihalang sekiranya tahap keseriusan pesakit dikenal pasti lebih awal.
“Pesakit amat jarang sembuh sepenuhnya, namun pengambilan ubat akan mengawal tahap halusinasi mereka,” katanya.
Ujar Andrew, antara sebab pesakit enggan meneruskan amalan memakan ubat ialah tidak selesa dengan kesan sampingannya sebelum berhenti tanpa pengetahuan doktor.
“Kos rawatan di hospital kerajaan adalah hampir kesemuanya percuma, tidak timbul isu kos tinggi kecuali mereka mendapatkan rawatan di sektor swasta,” katanya.
Sementara itu, Pakar Perunding Psikiatri dan Pensyarah Perubatan Kanan, Universiti Putra Malaysia, Dr. Ruziana Masiran berkata, di peringkat global dianggarkan sekira 30 hingga 50 individu yang mengalami penyakit mental tidak meneruskan rawatan tanpa nasihat doktor.
Kata beliau, pesakit mental hanya bertindak agresif apabila gejala penyakit mental mereka tidak dirawat atau diurus dengan baik.
“Ini boleh menimbulkan situasi di mana mereka merasakan diri seakan terancam dan keliru ketika berhalusinasi. Penyalahgunaan dadah juga boleh meningkatkan risiko bertindak lebih agresif,” katanya.
Tegas beliau, keluarga memainkan peranan penting dalam menyokong seseorang yang mempunyai penyakit mental seperti memberikan sokongan emosi, mewujudkan persekitaran yang tenang serta memahami.
“Elakkan situasi yang boleh mencetuskan tekanan kepada mereka. Jika tidak tahu, dapatkan nasihat daripada pakar psikiatri, pegawai psikologi, mahupun kaunselor tentang cara mengurusnya.
“Paling penting didik diri tentang keadaan mereka yang mengalami penyakit tersebut supaya lebih memahami dan bertindak balas mengikut keperluan,” katanya.















