fbpx
KES serangan hingga mengakibatkan dua anggota polis maut oleh seorang penyerang di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru pada 17 Mei 2024.

EKSKLUSIF: Balai polis, pejabat mufti sasaran militan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Balai polis dan pejabat mufti di negara ini merupakan antara sasaran kumpulan pengganas Islamic State (IS) atau Daesh untuk diserang kerana dianggap tidak sehaluan dan menentang perjuangan mereka.

Ini terbukti apabila pihak berkuasa negara ini menggagalkan 19 rancangan serangan Daesh antaranya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, Jabatan Mufti Negeri Sembilan, Majlis Penutupan Sukan SEA Kuala Lumpur, masjid syiah di Pulau Pinang, sambutan ambang merdeka dan ‘Festival Beer’.

Menurut buku Pelampau Keganasan di Malaysia: Sejarah, Isu & Ancaman, ideologi atau pega­ngan militan Daesh dianggap sangat berbahaya terutama kepada masyarakat di negara ini.

“Lebih membimbangkan adalah penyertaan rakyat Malaysia sebagai anggota Daesh dalam keadaan mereka kekal berada di dalam negara.

“Mereka boleh bertindak untuk melakukan keganasan pada bila-bila masa sahaja di Malaysia sebagaimana yang berlaku pada 28 Jun 2016 apabila mereka bertindak mengebom Movida Bar di Puchong, Selangor,” katanya.

Menariknya, kumpulan Daesh turut melibatkan penyertaan wanita.

Seramai 46 wanita berusia 26 hingga 35 tahun telah ditangkap oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas dipercayai terpengaruh dengan ideologi kumpulan pengganas tersebut.

“Terdapat kes seorang wanita berusia 52 tahun yang direkrut Daesh merancang untuk membuat serangan bunuh diri ke atas orang bukan Islam pada Pilihan Raya Umum ke-14.

“PDRM berjaya mengesan le­bih awal rancangan itu yang menggunakan kereta dan dile­takkan silinder gas detonator untuk diletupkan,” kata buku itu.

Disebabkan ideologi itu juga para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) melabelkan Daesh sebagai ‘Khawarij Moden’.

Oleh itu, ASWJ mengingatkan umat Islam agar tidak terperdaya dengan propaganda kumpulan militan itu terutama berkaitan konsep jihad dan mati syahid.

“Tindakan rakyat Malaysia beragama Islam berjuang atas nama jihad bersama Daesh adalah sia-sia kerana ia bertenta­ngan dengan kerangka hukum syarak,” katanya.

Antara elemen-elemen kumpulan Daesh yang bertentangan dengan ASWJ adalah membunuh manusia secara kejam dengan cara penyembelihan, mengebom, menembak, meletup, melemaskan dan membakar tahanan secara hidup-hidup.

“Elemen-elemen lain adalah menyerang dan membunuh orang awam yang tidak bersalah, menuduh orang Islam yang mengamalkan sistem demokrasi dan pilihan raya sebagai kafir,” katanya.

Menurut buku sama, Mohd. Lotfi Ariffin. Ahmad Tarmimi Maliki merupakan anggota Daesh pertama dari Malaysia yang menjadi pergebom bunuh diri.

“Dia (Mohd. Lotfi) membawa kenderaan yang sarat muatan bahan letupan dan merempuh ibu pejabat SWAT (Special Weapons and Tacties) di Iraq pada 26 Mei 2014,” katanya.

Sejak 2013 sehingga 2019, seramai 467 individu telah ditangkap PDRM kerana menyertai atau menyokong kumpulan Daesh.

Mereka menggunakan nama Daesh, Tanzim al-Qaeda, Ajnad al-Nusrah, Ajnad al-Syam Briged al-Jamaah, Daulah Islamiah Malizia, Arakan Daulah Islamiah, Kumpulan Fisabilillah, Kumpulan Gagak Hitam, Kumpulan Gunung Nuang, dan Kumpulan Malhamah Qubro. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN