PONTIAN – Seorang wanita tidak lagi boleh bekerja untuk menyara kehidupan apabila perlu memberi tumpuan kepada dua anak lelaki yang bersekolah dan suaminya yang kini terlantar akibat menghidap keradangan tisu serta penyakit kronik lain.
Azrina Abu, 37, berkata, suaminya, Salim Safar, 42, sudah tidak bekerja sejak empat tahun lalu kerana menghidap kencing manis, buah pinggang rosak dan saraf.
Katanya, sebelum ini dia bekerja di sebuah kilang di Gelang Patah dengan pendapatan RM1,600 bagi menyara kehidupan mereka empat beranak.
“Bagaimanapun, pada Jun lalu, suami dihantar ke Hospital Pontian (HP) kerana ada kuman dalam badan. Dua bulan kemudian, dia tidak sedarkan diri kerana kuman semakin merebak hingga tidak mampu berdiri.
“Kami panggil ambulans untuk bawa ke HP sebelum dirujuk ke zon merah di Hospital Sultanah Aminah (HSA). Suami kemudian ditidurkan kerana kritikal selama lebih tiga minggu sebelum dipindahkan ke wad biasa pada 23 September.
“Setiap kali buang air besar, najis akan bercampur darah dan hospital minta saya hantar gambar setiap hari untuk pantau berkembangannya,” katanya ketika ditemui di Kampung Pak Khalid, Pekan Nanas di sini baru-baru ini.
Menurut Azrina, keadaan itu memaksanya berhenti kerja untuk menguruskan suami dan persekolahan anak di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Mohd. Yunos Sulaiman.
Tambahnya, suaminya hanya dibenarkan pulang pada 8 Oktober lalu, namun perlu mendapatkan rawatan susulan di Klinik Kesihatan Pekan Nanas, HP dan HSA Johor Bahru.
“Saya perlu fikir duit sewa ambulans RM300, belanja harian dan kos petrol hantar dan ambil anak sekolah. Saya hanya dapat RM300 dari Baitulmal untuk beli ubat, lampin, susu formula dan tisu basah,” katanya.
Ujar Azrina, dia juga ada mendapat sedikit sumbangan daripada ahli keluarga. Dia kini menumpang di rumah abang ipar dan sedang menunggu giliran bagi mendapatkan permohonan rumah bagi Program Perumahan Rakyat Termiskin.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan bantuan melalui Bank Simpanan Nasional Azrina di nombor 0112241000110833 atau menghubunginya 011-3334 1014.














