fbpx
NAMANYA besar, impak lakonannya juga dirasai biarpun durasi kemunculannya adakala sekadar terselit di celah nama besar. Itulah Ebby Yus, pelawak otai yang kini hidup teruji dek sakit lemah jantung dan sakit buah pinggang.

Dahulu buat orang ketawa kini dialisis darah, air jadi rutin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERNAH merempat hingga terpaksa ikat perut demi mengejar impian bergelar pelakon, Ebby Yus mengakui menyembunyikan kegetiran hidup sebagai anak rantau di Kuala Lumpur daripada pengetahuan keluarga bagi mengelakkannya diminta pulang ke kampung semula.

Hampir empat tahun menumpang tidur di pelbagai tempat termasuk premis pejabat sebuah syarikat produksi dan rumah kawan, bukan sedikit dugaan terpaksa ditempuh anak jati Negeri Sembilan itu sebelum bakat lakonannya diperakui ramai.

Mengajar silat dan membersihkan pejabat secara percuma di tempatnya tumpang berteduh, menjamah roti cicah kuah kari sebagai makanan ruji serta tidur beralaskan kertas surat khabar atau kotak sudah menjadi kebiasaan buatnya.

Biarpun situasi sukar dilalui itu sudah empat dekad berlalu, pengalaman getir yang tidak dikongsikan dengan ahli keluarga membuatkan jiwanya kental hingga ke hari ini terutama sejak disahkan mempunyai penyakit lemah jantung serta buah pinggang.

“Ketika awal 1980-an saya tumpang rumah kakak buat sementara waktu ketika melakukan pekerjaan pertama di Kuala Lumpur di sebuah kilang batu-bata sebelum tinggal bersama kawan selepas menjadi pelayan restoran.

Ebby disahkan menghidap penyakit lemah jantung sejak enam tahun lalu dan kini mempunyai masalah buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis.

“Waktu itu ramai pelakon dan kru termasuk mekap artis selalu datang makan, jadi dari situ saya dapat peluang ke uji bakat sebagai pelakon tambahan. Walaupun tak terpilih, seorang produser tanya apa kelebihan saya. Saya cakap pandai silat dan terus dia minta saya ajar pelakon.

“Cuma ketika itu saya merempat, berpindah randah dan dia tawarkan saya tinggal di pejabatnya. Sebagai balasan atas kebaikannya, saya bersihkan premis tersebut secara percuma. Memang susah, merasa makan nasi pun sekali seminggu, itu pun atas ihsan orang,” katanya memgimbas kenangan lampau ketika ditemui HibGlam baru-baru ini.

Menurut Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid, 59, biarpun disahkan mempunyai penyakit lemah jantung sejak enam tahun lalu dan kini perlu menjalani rawatan dialisis akibat masalah buah pinggang, pengalaman lampau menjadikannya manusia berjiwa kental.

Bagi pelakon dan pelawak itu, kegetiran dilalui demi kelangsungan hidup di Kuala Lumpur antara sebab dia tetap bersyukur ‘dipinjamkan’ kesihatan yang ada sekali gus mampu mencapai cita-cita menjadi pelakon.

“Sakit ini hanya ujian kecil. Allah sudah bagi saya sihat lebih separuh abad biarpun ketika itu saya makan tidak menentu dan tumpang lelapkan mata di mana-mana, jadi apabila disahkan lemah jantung dan kini perlu menjalani dialisis, saya terus positif.

“Allah lorongkan saya ramai orang baik. Kalau waktu saya susah dahulu ada seorang lelaki nama panggilan Zainal Bomba sedekah nasi seminggu sekali, sekarang saya dikelilingi lebih ramai insan prihatin termasuk pembantu peribadi saya, Kecik.

“Selain ahli keluarga, kawan dan orang terdekat saya inilah yang banyak tolong seperti bawa ke hospital serta jaga saya. Begitu juga orang yang tidak saya kenali tetapi salurkan sumbangan untuk saya,” ujarnya yang tetap ramah berbicara.

EBBY ditahan di wad hospital selama dua minggu akibat jangkitan kuman pada luka kesan tebuk di perutnya.

Adik-beradik jadi nyawa

Biarpun patah perkataan diluah tidak selancar dahulu selain tampak lemah, Ebby yang sememangnya dikenali dengan sikap mesra tetap menerima kehadiran tetamu tidak diundang dengan tangan terbuka.

Kunjungan HibGlam ke kediaman pembantu peribadinya di Kampung Baru yang juga tempat tinggalnya sejak beberapa tahun lalu tetap disambut dengan senyuman walaupun dia sukar untuk berdiri dalam tempoh lama.

Sepanjang sejam berbual, sesekali pelakon sitkom Simpang Tiga itu meminta maaf apabila perlu menjawab panggilan, terutama daripada ahli keluarga yang bertanya khabar.

Terlanjur bercerita mengenai keluarga, anak ketujuh daripada 10 beradik itu bersyukur mempunyai saudara terdekat yang sentiasa di sisi ketika dirinya menempuh waktu sukar.

“Alhamdulillah, adik beradik saya tak kaya harta, tapi mereka mewah kasih sayang. Memang mereka dan anak saudara minta saya tinggal dengan mereka lebih-lebih lagi ketika saya perlu menjalani rawatan dialisis air, cuma saya enggan susahkan mereka.

“Disember tahun lepas saya dijaga kakak sulung selepas pembedahan pasang alat perentak jantung, mungkin minggu depan baru saya penuhi permintaan kakak kedua untuk tinggal bersamanya pula buat sebulan dua sampai saya sembuh.

“Sekarang ini saya kena belajar dulu cara buat dialisis air di rumah sendiri. Sebelum itu doktor tebuk bahagian leher untuk dialisis darah, tetap jantung saya tak kuat,” katanya yang baru keluar hospital selepas 17 hari ditahan di wad.

Keadaan lelaki bujang itu mengundang perhatian ramai apabila fizikalnya kelihatan lebih kurus berbanding beberapa bulan lalu yang dikatakan berpunca daripada masalah buah pinggang.

Luka dijangkiti kuman

Ketika kunjungan HibGlam juga, Ebby menjelaskan, dia dimasukkan Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat tekanan darah rendah sehingga dikejarkan ke zon kecemasan dan selepas rawatan didapati dia perlu menjalani dialisis darah sebelum dialisis air.

Begitupun, luka pembedahan kecil pada perut bagi memasukkan tiub untuk memulakan rawatan dialisis air di rumah dijangkiti kuman yang menyebabkannya ditahan lebih dua minggu di wad.

“Memang buah pinggang saya sudah bermasalah beberapa tahun lalu tetapi saya dapat bertahan tanpa dialisis. Hanya perlu ikut saranan doktor terutama dari segi pengambilan air.

“Ikutkan saya kena ambil air sekitar 500 mililiter (ml) selain makan hidangan sihat dibakar atau rebus, jadi perlu disiplin walaupun sesekali teringin menjamah makanan lain,” ujar bekas pemilik restoran makanan cina muslim itu.

EBNY ketika diwawancara wartawan HibGlam baru-baru ini.

Jual kereta, keris

Masih kental sisi humor apabila sesekali berseloroh, namun nada suaranya mendatar apabila ditanya kos menampung kehidupan selepas empat bulan tidak mampu bekerja.

Katanya, selain bersyukur menerima bantuan agensi berkaitan untuk rawatan penyakit selain sedekah individu perseorangan, dia menjual barangan peribadi bagi perbelanjaan harian.

“Wang simpanan memang sudah digunakan untuk perbelanjaan sampingan lain malah keluarga pun selalu bantu, begitu juga orang lain tetapi saya tetap jual barang sendiri, termasuk sebelum ini empat buah kereta dan terbaharu lima bilah keris koleksi yang disimpan lebih 15 tahun.

“Walaupun tidak dapat bekerja, saya juga perlu usaha. Alhamdulillah ada koleksi berharga yang boleh dilepaskan untuk dijaga orang lain,” kongsinya lagi yang mempunyai hampir 50 keris termasuk berusia mencecah 100 tahun,” katanya menutup bicara.

DISIMPAN sebagai koleksi istimewa sejak belasan tahun lalu, ada antara 50 bilah keris kesayangan Ebby terpaksa dijual demi kelangsungan hidup.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN