Sudah tahun 2024, tetapi masih ramai pengguna jalan raya memberi ‘signal’ amaran kepada pemandu-pemandu lain mengenai sekatan jalan raya yang sedang dilakukan pihak polis atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di hadapan mereka.
Isyarat lapuk itu masih dilakukan dengan cara mengkelipkan lampu besar kenderaan kepada pemandu lain ketika berselisih di jalan raya. Bukan seorang dua pemandu yang melakukan tindakan sama, malah lebih daripada itu.
Kononnya tindakan itu dapat membantu pengguna lain daripada dikenakan kompaun atau saman atas kesalahan tertentu. Kumpulan yang paling ligat melakukan perkara tersebut ialah pemandu lori.
Tidak hairanlah ada pemandu lori selain kereta dan penunggang motosikal yang berhenti di tepi-tepi jalan, melawan arus atau berpatah balik daripada mengelakkan melalui sekatan jalan raya.
Jika tidak melakukan sebarang kesalahan, apa yang perlu ditakutkan. Hanya mereka yang melanggar peraturan jalan raya atau undang-undang yang tidak berani untuk menempuh sekatan jalan raya selain ada penyakit trauma dengan polis atau JPJ.
Isu ini nampak remeh, namun kesannya besar. Tindakan berkongsi maklumat itu menyebabkan pihak berkuasa tidak dapat mengambil tindakan ke atas pemandu yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas.
Antaranya mereka yang memandu dalam keadaan mabuk, di bawah pengaruh dadah, membawa muatan berlebihan, tiada lesen memandu dan cukai jalan, kenderaan dalam keadaan berbahaya atau menggunakan kereta curi.
Kesalahan-kesalahan ini boleh mengancam pengguna lain. Bagi individu yang tidak pernah terkesan dengan musibah yang disebabkan kecuaian pesalah trafik ini, mereka tidak akan dapat merasakan kesengsaraan yang ditanggung oleh keluarga mangsa.
Lebih teruk lagi apabila ‘signal’ tersebut dikongsi kepada penjenayah yang dikehendaki polis atau baru sahaja melakukan rompakan, menyamun atau membunuh.
Jika ahli keluarga mereka yang suka memberi ‘signal’ tersebut menjadi mangsa kelalaian pemandu lain atau dibunuh atau dirompak, mungkin ketika ini baru menyesal apabila pesalah terlepas begitu sahaja.
Sekatan jalan raya yang dibuat bukan sahaja untuk mengesan kesalahan lalu lintas, malah dapat menahan individu yang melakukan jenayah.
Kebanyakan mereka yang suka memberi ‘signal’ kepada pemandu lain adalah mereka yang bencikan polis atau JPJ dengan mendakwa ‘mahu makan duit rakyat’.
Dalam zaman canggih sekarang, ada pula pemandu yang berkongsi maklumat mengenai kehadiran polis atau sekatan jalan raya melalui aplikasi penunjuk arah. Cara ini lagi mudah tersebar luas.
Sepatutnya orang ramai memberi kerjasama kepada pihak polis atau JPJ, bukannya mengganggu tugas pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat tersebut.
Tindakan tegas perlu diambil terhadap individu-individu terbabit dengan melaksanakan satu cara yang dapat mengesan kesalahan tersebut kerana selama ini mereka bebas untuk melakukannya.














