PETALING JAYA – Percaya atau tidak bahawa satu daripada lima kenderaan terpakai sama ada keluaran import mahupun tempatan sebenarnya mempunyai sejarah kemalangan ataupun kerosakan yang serius.
Bagaimanapun, segala ‘kekurangan’ itu didakwa cuba disembunyikan oleh premis menjual kereta terpakai dengan memberikan pelbagai helah dan tawaran semata-mata untuk memperdayakan pembeli.
Perkara itu antara yang didedahkan oleh syarikat semakan kondisi kenderaan, SCRUT hasil pemantauan di laman web SCRUT. MY ataupun melalui cara pemeriksaan fizikal di premis milik mereka.
Menurut Pengasas SCRUT, Ahmad Aliff A S Ahmad Shariffuddin, antara taktik yang digunakan syarikat penjual kenderaan terpakai termasuklah memberikan waranti sehingga lebih setahun kepada pembeli yang berminat.
Namun katanya, jaminan itu hanyalah untuk mengaburi mata pembeli kerana apabila kereta sudah terjual, ada sesetengah syarikat tidak mahu mengambil tanggungjawab.
“Mereka (syarikat penjual) akan memberikan waranti antara enam bulan dan ada yang lebih setahun. Namun, jika ada kerosakan dan pelanggan ingin ‘claim’ semula waranti mereka, penjual akan cuba mengelak.
“Ada juga pelanggan pernah mengadu mengenai tindakan syarikat yang terus lepas tangan selepas selesai urusan jual beli sehingga mereka terpaksa membawa kes tersebut ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM),” katanya kepada Kosmo!.
Selain pemberian waranti, taktik-taktik licik lain yang digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab ini adalah dengan mengecat semula kenderaan tersebut agar kelihatan sempurna dan seperti baharu.
“Biasanya ramai pelanggan akan tertarik dengan kereta yang baru dicat kerana nampak cantik seolah-olah pemilik sebelum ini jarang menggunakan kereta tersebut.
“Sedangkan apabila pemeriksaan lanjut dibuat, kami mendapati kereta terbabit pernah terlibat dalam kemalangan dan ada yang hampir total lost,” ujarnya.
Tambah beliau, ada juga syarikat kenderaan terpakai yang cuba mengubah meter perbatuan sesebuah kereta untuk menampaknya kereta tersebut jarang pakai dan milage masih rendah.
Mengulas mengenai situasi itu, Ahmad Aliff berkata, sejak SCRUT memulakan operasi pada tahun 2019, lebih 100,000 kenderaan pelanggan telah disemak oleh SCRUT.
Katanya, untuk tahun ini sahaja, lebih 3,000 kenderaan bermasalah berjaya dikesan oleh pembeli yang datang mendapatkan perkhidmatan di syarikat tersebut.
“Kebanyakan kenderaan yang terlibat (mempunyai sejarah kemalangan) adalah terdiri daripada kenderaan recond (kereta terpakai luar negara) dan juga kereta terpakai tempatan.
“Kita boleh ‘trace’ setiap kereta kerana kita mempunyai data terutamanya kereta dari Jepun dan United Kingdom (UK). Bagi kereta recond Jepun, data kita peroleh daripada pusat kenderaan lelong dan ‘puspakom’ di negara terbabit.
“Untuk UK, data akan diperoleh menerusi pihak berkuasa di negara terbabit.
“Di Malaysia, data diperoleh daripada penjaga data syarikat-syarikat insurans di Malaysia, data-data yang pihak SCRUT sendiri kumpul dan data-data rasmi terbuka,” jelasnya.
Beliau menambah, terdapat empat tahap kemalangan yang akan disediakan menerusi laporan itu iaitu kesan kemalangan rendah, sederhana dan tinggi termasuk status kenderaan pernah diisytihar sebagai total lost atau tidak untuk kenderaan terpakai di Malaysia.
Kata Ahmad Aliff lagi, pihaknya turut membantu pelanggan SCRUT yang telah diperdaya sehingga mendapatkan keadilan dan tuntutan di TTPM.
Justeru katanya, orang ramai yang ingin membeli kereta terpakai digalakkan untuk membuat semakan di laman SCRUT.MY dan pemeriksaan fizikal di SCRUT Auto bagi mengelak daripada ditipu.
“Di SCRUT, kami menyediakan beberapa perkhidmatan bermula dari harga serendah RM60 untuk laporan sehinggalah RM350 untuk pemeriksaan fizikal,” katanya.














