PETALING JAYA – Sepasang suami isteri mengambil masa selama 12 tahun untuk mencari calon isteri kedua sebelum akhirnya bertemu seorang wanita yang sesuai pada 2022.
Pengalaman itu dikongsi sendiri oleh seorang pengurus, Fairuz Nizam Zainal Abidin, 42, kepada Kosmo!, dan dia menjelaskan bahawa perbincangan tentang poligami antara mereka bermula sebelum 2010 dan hanya mencapai kesepakatan pada 2022, selepas lebih 12 tahun.
“Saya dan isteri kerap berbincang mengenai hala tuju keluarga yang ingin dicapai seperti tempat tinggal, laluan kerjaya, bilangan anak, pendidikan anak termasuk juga jumlah isteri. Dalam erti kata lain, visi dan gambaran keluarga kami yang diinginkan.
“Saya sentiasa usaha supaya Afira (isteri pertama) dilibatkan dalam keputusan-keputusan keluarga yang saya ambil. Isteri jadi lebih mudah ikut keputusan jika dia faham mengapa keputusan itu dibuat,” katanya.
Fairuz berkata, bahawa dia dan Nurul Afira Zakaria, 40, yang juga seorang pengurus sebuah syarikat, berkahwin pada Disember 2008 dan dikurniakan lima orang anak.
Namun, sejak awal perkahwinan lagi, dia sudah menyatakan hasrat untuk berpoligami.
Kata Fairuz, isterinya tenang menerima hasrat tersebut kerana pada waktu itu ia masih berbentuk perbincangan dan belum ada calon yang khusus. Pasangan ini mula serius mencari calon isteri kedua sekitar tahun 2010.
“Saya dan isteri pertama biasanya mencari calon dalam kalangan kawan-kawan atau kenalan kami. Kami tidak pernah guna laman cari jodoh atau media sosial,” kata Fairuz.
Menariknya, Afira tidak menolak untuk turut terlibat dalam proses mencari calon madu dan pasangan ini membincangkan kira-kira lima hingga enam calon sebelum bertemu dengan Siti Fatimah Shamsul Azwan, 26, yang kini menjadi isteri kedua Fairuz.
Tambahnya, Fatimah yang merupakan seorang guru mengaji al-Quran adalah salah seorang guru kepada anak-anak Fairuz dan Afira.
Pada awalnya, Fatimah menolak lamaran Fairuz dan isteri pertamanya. Namun, selepas hampir setahun, dia akhirnya bersetuju untuk menerima lamaran tersebut.
Fairuz turut menjelaskan bahawa keinginannya untuk berpoligami datang dari fitrahnya dan tanggungjawab sebagai seorang lelaki yang mahu berlaku adil dan jujur kepada isteri-isterinya.
“Saya sarankan kepada mana-mana suami yang mahu berpoligami untuk berterus-terang tanpa menyembunyikan perkahwinan sama ada kepada isteri sedia ada mahupun isteri tekemudian supaya tidak ada pihak yang teraniaya,” ujarnya.














