fbpx
HUSNIAH pada Terbuka Perlis di Kangar minggu lalu.

Satu lagi rekod sebelum bersara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BIARPUN dilihat sudah di penghujung karier tetapi ratu pecut Malaysia, Zaidatul Husniah Zulkifli membuktikan kehebatannya masih sukar ditandingi oleh pelari-pelari muda wanita negara yang lain.

Husniah yang mesra disapa Adik itu mencipta sensasi dengan memecahkan rekod 100 meter (m) wanita Malaysia berusia 31 tahun milik legenda olahraga tanah air, G. Shanti menerusi catatan 11.49 saat (s) pada Terbuka Perlis di Kangar minggu lalu.

Menariknya, Shanti mencipta rekod itu dengan masa 11.50 saat (s) sewaktu Kejohanan Pra Sukan SEA di Kuala Lumpur pada 7 Mei 1993 iaitu tiga bulan sebelum Husniah dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada tanggal 20 Ogos 1993.

Ia adalah rekod rasmi dan sah dicipta oleh Husniah yang pernah beraksi pada Sukan Olimpik Rio 2016.

Tujuh tahun lalu, Husniah pernah memecahkannya sebanyak dua kali sewaktu kem latihan di Afrika Selatan tetapi kedua-duanya tidak diiktiraf disebabkan hal-hal teknikal selain catatannya turut menerima bantuan angin yang melebihi syarat ditetapkan World Athletics.

Ketika itu, Husniah merakam masa 11.36s sewaktu meraih tempat kedua saingan Liga AGN Pretoria pada 4 Mac 2017 sebelum dia mencatat 11.45s empat hari kemudian dalam aksi Bloemfontein Speed Series.

Sejak itu, Husniah tidak pernah mengalah untuk memadam rekod tersebut secara rasmi dengan cubaan demi cubaan dilakukan dalam 63 perlumbaan biarpun tahun 2024 menyaksikannya jatuh ke ranking kedua terpantas 100m di belakang Shereen Samson Vallabouy.

Tiga percubaan terbaik Husniah sebelum ini adalah 11.56s sewaktu Kejohanan Olahraga Asia 2023 di Bangkok, 11.59s ketika Sukan Asia 2018 di Jakarta dan 11.59s dalam siri Klasik Weinhem, Jerman pada 2018.

Nama pemenang dua perak dan empat gangsa di pentas Sukan SEA itu juga seakan dilupakan apabila Shereen terlebih dahulu memecahkan satu lagi rekod kebangsaan milik Shanti iaitu 200m dicipta 25 tahun lalu pada 1998.

Peminat-peminat olahraga tanah air turut menggesa Shereen beralih sepenuhnya ke acara pecut 100m dan 200m biarpun dia merupakan pemegang rekod 400m kebangsaan untuk menggantikan Husniah yang semakin menuju persaraan dalam tempoh satu atau dua tahun lagi.

Ini disebabkan kejayaan Shereen meraih pingat gangsa 400m Sukan Asia Hangzhou tahun lalu sebelum mempamerkan larian hebat membantu kuartet 4x100m wanita memenangi tempat ketiga di pentas berprestij Asia tersebut.

Bagaimanapun, Husniah yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani di Universiti Putra Malaysia bangkit membuktikan dirinya masih relevan untuk menggalas harapan
besar skuad olahraga kebangsaan dengan rekod 100m tersebut.

Berdasarkan prestasi itu, tak mustahil Husniah mampu untuk menaiki podium pada Sukan SEA Thailand 2025 yang akan berlangsung di Bangkok, Chonburi dan Songkhla penghujung tahun depan.

Lebih indah sekiranya Husniah dapat menggengam emas pertamanya di pentas Sukan SEA dan memastikan namanya sebagai pemegang rekod 200m kebangsaan sebelum melabuhkan kariernya dengan beralih profesion sebagai seorang guru pada masa depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN