fbpx
SELEPAS lebih sedekad berkecimpung dalam dunia fesyen, aktres Scha Alyahya kini memiliki keberanian untuk melahirkan produk bawah jenamanya sendiri.

‘Orang tidak percaya kualiti produk, bisnes artis’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBUT sahaja nama Scha Alyahya, sudah terbayang wajah anggun dan fizikal tinggi lampai yang sentiasa kelihatan cantik dan elegan saat menyarungkan apa jua busana.

Biarpun berpakaian serba ringkas atau mengenakan solekan tipis, Scha sering dipuji antara selebriti yang bijak dalam fesyen. Dia sentiasa ‘bersiap’ setiap kali muncul di mana-mana acara.

Sebagai selebriti, Scha atau nama sebenarnya, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya, 41, percaya, penjagaan imej sangat penting demi kelangsungan kerjaya pada masa depan.

“Saya tahu memang agak berat untuk berbelanja, tetapi sebagai selebriti kita adalah satu jenama yang perlu dijaga.

“Orang akan lihat dan imej itu akan kekal dengan kita selamanya.

Menurut Scha, adalah penting untuk seseorang selebriti menjaga keterampilan diri sepanjang berkecimpung dalam dunia seni.

“Jadi, tidak perlu berlokek untuk bersiap kerana kita akan kelihatan ikhlas dan bersedia apabila hadir ke acara,” ujarnya.

Bahkan, Scha juga sanggup mengupah penata gaya yang hadir dengan pakej jurusolek dan penata rambut ketika awal kemunculannya sebagai pelakon.

Biarpun terpaksa memperuntukkan sebahagian bajet, langkah itu berbaloi demi penampilan hebat.

“Masa awal berlakon dahulu, saya antara orang yang mengupah stylist (penata gaya).

“Selepas beberapa tahun, dapat rentak dan tahu gaya yang sesuai, barulah saya buat semuanya sendiri.

“Bukanlah perlu berhabis wang ringgit, perlu kreatif dalam berfesyen. Tetapi disebabkan pelaburan dalam menjaga imej, orang memandang saya serius dalam bidang ini,” ungkapnya.

Bintang filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa itu juga memuji Datuk Aznil Nawawi sebagai selebriti yang bijak dalam menjaga imej dan fesyen.

Menurut Scha, adalah penting untuk seseorang selebriti menjaga keterampilan diri sepanjang berkecimpung dalam dunia seni.

 

Justeru, sikap Aznil wajar dicontohi oleh selebriti lain jika ingin kelangsungan karier yang panjang dalam industri seni.

“Pak Nil antara selebriti yang akan bersiap ke mana sahaja acara yang dihadirinya.

“Semasa berlakon sama. apa yang saya perhatikan, beliau cukup hebat dalam mempersiapkan diri sendiri termasuk solekan serta rambut.

“Jika kita perhatikan Pak Nil tidak pernah ulang pakaiannya. Jika ada pun yang diulang pasti beliau akan mengayakan secara mix and match.

“Jadi, saya ingin pesan, janganlah lokek bab imej kerana ini antara komponen penting untuk menjadi selebriti. Orang akan ingat kita dengan imej yang dibentuk daripada sekarang,” ujar isteri kepada pengacara Awal Ashaari itu.

PERNAH ‘tersungkur’ dalam dunia perniagaan sebelum ini, Scha bakal melancarkan jenama fesyen sendiri dalam waktu terdekat. – FARIZ RUSADIO

Bisnes

Selama 18 tahun berkecimpung dalam dunia seni, sepuluh tahun terakhir anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu aktif dalam dunia fesyen.

Selain menjadi jurucakap, duta, model, Scha juga sering dipilih sebagai ‘duta kecil’ Malaysia di pentas fesyen antarabangsa.

Minat dalam bidang fesyen sudah sebati dengan dirinya, malah dia dan suami pernah memiliki butik pakaian yang menghimpunkan pelbagai jenama bawah satu bumbung, namun perniagaan tersebut tidak bertahan lama.

Selepas setahun melakukan kajian Scha kini bakal muncul dengan produk fesyen jenama sendiri pada hujung tahun ini.

“Sebelum ini memang ramai yang menggalakkan saya untuk ceburi bidang perniagaan fesyen. Selepas 10 tahun, barulah saya ada keyakinan apabila tahu selok-belok dan faham ilmu bisnes.

“Fesyen sangat dekat di hati saya, jadi lebih baik kekal dengan bidang yang saya sudah kenal dan faham. Minat sahaja tidak cukup, tetapi perlu ada ilmu. Jika tidak saya bimbang bisnes separuh jalan,” kata ibu dua orang anak itu lagi.

Tidak bergandingan dengan mana-mana rakan kongsi, bisnes yang bakal dilancarkan diharap berkembang menjadi sebuah empayar fesyen.

Sungguhpun begitu, Scha menjelaskan status sebagai selebriti bukan tiket untuk sesebuah bisnes meraih keuntungan dengan jalan mudah.

“Sebenarnya selebriti paling susah jika buat bisnes. Bukan di Malaysia sahaja tetapi luar negara pun sama apabila orang ramai tidak percaya dengan kualiti produk yang dihasilkan. Mereka memandang rendah kepada selebriti.

“Sebab mereka ingat selebriti dapat semua benda dengan mudah walhal kami memulakan perniagaan sama seperti usahawan lain.

“Kelebihannya mungkin hanya daripada segi pemasaran, orang mudah kenal produk kita, tetapi dari segi kepercayaan, selebriti perlu bekerja lebih keras,” tutur Scha yang mengidolakan Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datin Fouziah Gous sebagai usahawan selebriti berjaya.

Scha bakal muncul dengan filem terbaharu terbitan Global Station Sdn. Bhd. berjudul 5 Bomoh tidak lama lagi.

Lakonan

Selepas sekian lama tidak berlakon, Scha juga kembali ke layar perak dengan filem 5 Bomoh terbitan Global Station Sdn. Bhd.

Filem yang masih dalam penggambaran tersebut dibintangi ramai bintang terkenal antaranya, Datuk Aaron Aziz dan Aedy Ashraf.

Jelas Scha, tawaran filem berkenaan hadir pada waktu yang tepat selepas dia selesai bekerja di luar negara.

“Kebetulan rezeki, ikutkan bukan saya tidak mahu berlakon tetapi saya jenis tidak suka menyusahkan pihak produksi.

“Selaku jurucakap dan model saya perlukan banyak ‘travel’ ke luar negara untuk menghadiri acara fesyen.

“Adakalanya, penggambaran perlu dihentikan kerana saya tiada di Malaysia, jadi saya tidak mahu perkara itu berlaku. Itu yang menyebabkan karier lakonan bergerak agak perlahan,” katanya.

Tambahnya lagi, kematangan hayat dalam industri juga banyak mempengaruhi tindakannya.

“Waktu muda bolehlah berlakon tiga drama serentak dan lari-lari set penggambaran berbeza. Sekarang apabila lakukan sesuatu saya mahu fokus untuk beri hasil terbaik,” tuturnya menoktah bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN