fbpx
Lokasi pusat perubatan Tabib Adam yang sering dikunjungi ramai di Melaka.

Kaya raya tawar buang saka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Khidmat perubatan seorang bomoh jutawan dikenali Tabib Adam yang menawarkan pelbagai rawatan termasuk membuang saka di pusat perubatannya di Masjid Tanah, Alor Gajah dikesan masih aktif biarpun telah difatwakan sesat.

Tinjauan Kosmo! di media sosial termasuk TikTok mendapati, akaun yang menggunakan nama pusat terapi lelaki itu masih aktif mempromosikan rawatan alternatif di premis terbabit, malah terus menerima pesakit setiap hari.

Ketaksuban orang ramai itu dipercayai memberikan sumber pendapatan lumayan kepada pengamal terbabit sehingga memiliki aset bernilai jutaan ringgit.

Lelaki terbabit mengenakan bayaran bermula RM250 seorang mengikut jenis saka yang perlu dibuang seperti saka harimau, saka buaya atau saka hantu.

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, susulan itu, pihaknya telah meminta pihak Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) untuk mengambil tindakan lanjut terhadap kegiatan tersebut berdasarkan fatwa yang telah diwartakan itu.

Menurutnya, khidmat perubatan Tabib Adam difatwakan sesat pada 12 September lalu selepas hasil kajian dan laporan dibentangkan dalam muzakarah.

“Rawatan yang dilakukan di pusat tersebut didapati mempunyai elemen keraguan termasuk menyeru makhluk halus.

“Kita telah buat sesi wawancara dengan mereka (pesakit) secara bersemuka dan laporan-laporan itu kita lihat ada keraguan dalam perubatan tersebut seperti menyeru atau memanggil makhluk-makhluk lain (halus).

“Perubatan diamalkan juga mempunyai elemen pengeras, amalan wirid dan perkara yang kadangkala tidak masuk akal termasuk dari segi bacaan-bacaan­nya. Kita Khuatir ada elemen mistik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Seminar Pendidikan Fatwa Kontemporari sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW ­peringkat negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di sini semalam.

Justeru, pihaknya mengingatkan orang ramai agar tidak terlalu ghairah atau cepat mempercayai rawatan alternatif yang ditawarkan sesetengah pihak yang menggunakan nama perubatan Islam.

“Kepada pesakit-pesakit atau pun yang mendapatkan khidmat perubatan dan terpedaya, saya minta berhati-hati. Mereka yang sakit memanglah nak cari ubat untuk sihat, tetapi pastikan ikhtiar itu tidak terkait dengan perkara khurafat dan tersesat.

“Carilah rawatan di peringkat hospital dahulu kerana kita khuatir sebenarnya (seseorang itu) menghidap penyakit lain tetapi lebih percaya kepada ra­watan seperti ini,” ujarnya.

Mengulas lanjut Abdul Halim berkata, pewartaan sesat khidmat perubatan Tabib Adam itu menjadikan jumlah terkini ajaran sesat yang diwartakan di Melaka adalah sebanyak 29 ajaran.

Katanya, pada tahun ini sahaja pihaknya mewartakan empat ajaran sebagai sesat iaitu ajaran dan fahaman Irwan Alias, ajaran Suhaini Mohammad (Si Hulk), amalan dan kaedah perubatan Tabib Adam dan risa­lah bab ­kesucian oleh Wayang Hadi Kesumo (Hadi Minallah).

Kosmo! pada Jun tahun lalu melaporkan, kepercayaan dan ketaksuban orang ramai terhadap rawatan alternatif membuang makhluk halus atau saka dilihat menjadi-jadi sehingga memberi pulangan mewah kepada si perawat.

Risikan Kosmo! di sebuah pusat rawatan di Masjid Tanah, Alor Gajah yang sebelum ini telah dilaporkan sedang dipantau oleh agensi agama kerana disyaki menyeleweng daripada akidah Islam terus dikunjungi orang ramai bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang.

Perawat yang menggelarkan diri sebagai Tabib Adam itu turut menyediakan kelas berkaitan spiritual dengan yuran pendaftaran seumur hidup sebanyak RM200.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN