MUAR – Seorang pemuda dikenali sebagai ‘Abang Bas’ mengekalkan pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Tertuduh yang berusia 24 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Sayani Mohd. Nor.
Pada 12 September lalu, tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Batu Pahat dan membuat pengakuan sama di hadapan Osman Affendi Mohd. Salleh.
Tertuduh didakwa menggunakan TikTok secara sedar membuat dan menghantar komen bersifat jelik terhadap video kanak-kanak berusia sembilan tahun dengan kapsyen ‘hari ini crush buat homework’ diikuti tanda ‘love’.
Kesalahan itu dilakukan di Jalan Aman 2, Taman Budiman, Parit Raja, di sini pada pukul 11 malam, 5 September lalu.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir meminta tarikh baru bagi serahan dokumen berikutan pihaknya masih belum menerima laporan.
Peguam secara probono, Muhammad Qayyim Saiful Bahari yang mewakili tertuduh bagaimanapun tidak membantah dan bersetuju dengan tarikh 11 November ini seperti yang ditetapkan pihak mahkamah.
Pada 10 September lalu, Abang Bas didakwa di Mahkamah Muar atas dua pertuduhan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya berusia empat tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan 15(a)(iii) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 dan 15 akta sama.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya. – KOSMO! ONLINE