PETALING JAYA – Ibu bapa kepada salah seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun yang maut setelah dirempuh kenderaan dipandu seorang wanita, difahamkan masih belum mengetahui tentang kejadian yang menimpa anak mereka.
Menurut Ketua Komuniti Sura Hujung, Syafiqah Nabilah, ibu bapa Ku Adib Aizad Ku Azmi dan, 20, baru sahaja berlepas ke Mekah bagi menunaikan ibadah umrah pada pukul 7 malam semalam.
“Kejadian kemalangan berlaku kira-kira pukul 7.25 malam. Jadi ketika nahas berlaku, ibu bapanya masih belum ketahui.
“Setakat pukul 3 pagi tadi, ibu bapanya masih belum tiba di Mekah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! pagi ini.
Syafiqah merupakan antara individu yang terlibat dalam pengurusan jenazah bersama Rektor UiTM Dungun di Hospital Dungun sejak kemalangan berlaku malam tadi.
Tambahnya lagi, ibu saudara anak sulung daripada lima beradik itu sudah pun menuntut jenazah Allahyarham sekitar pukul 2 pagi tadi.
“Kesemua mangsa telah dimandikan dan dikafankan di Hospital Dungun, Terengganu sebelum dibawa ke Masjid UiTM pukul 10 pagi untuk disembahyangkan.
“Jenazah Ku Adib kemudiannya akan dibawa ke kediamannya di Sungai Buloh untuk dikebumikan,” katanya.
Terdahulu, tiga pelajar UiTM Dungun maut manakala seorang lagi cedera parah akibat dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV dipandu seorang wanita malam tadi.
Sewaktu kejadian, kesemua mangsa dikenali sebagai Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, Khairil Anwar Jamaludin, 20, Mohd. Akmal Tukirin, 25, dan Mohd. Ammar Danish Mohd. Ridhuan, 20, sedang menaiki dua motosikal jenis Yamaha LC 135 dan Yamaha Y15.
Difahamkan mereka dalam perjalanan pulang ke kampus sebaik makam malam bersama.
Sebaik tiba di pintu hadapan kampus, dua motosikal dinaki kesemua mangsa tiba-tiba dirempuh dari arah belakang oleh kenderaan Honda CRV terbabit.
Rempuhan itu menyebabkan empat pelajar tersebut tercampak manakala kenderaan berkenaan pula terbabas memasuki parit di tepi jalan.
Tiga mangsa iaitu Ku Adib Aizad, Khairil Anwar dan Mohd Akmal meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mayat mereka telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun di sini untuk tindakan lanjut.
Seorang mangsa yang cedera, Mohd. Ammar Danish pula dikejarkan ke unit kecemasan hospital sama sebelum bakal dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. – KOSMO! ONLINE