HULU TERENGGANU – Ribuan penduduk di tiga perkampungan iaitu Kampung Basung, Kampung Pasir Dula dan Padang Setebu di sini semakin dihimpit kebimbangan selepas perkampungan mereka diceroboh gajah sejak kebelakangan ini.
Situasi itu turut menyebabkan pendapatan penduduk terjejas memandangkan buah duku yang sudah masak tidak dapat dijual dan hanya dibiarkan busuk.
Seorang penduduk, Musa Ahmad, 71, mendakwa, kumpulan haiwan liar itu bukan sahaja memusnahkan kebun, malah turut menjadikan perkampungan mereka seperti ‘taman permainan’.
“Kumpulan gajah tersebut sudah semakin hampir dengan rumah-rumah kami.
“Minggu lalu, tiga hari berturut-turut perkampungan saya diceroboh seekor gajah dewasa menyebabkan sekurang-kurangnya 10 batang pokok kelapa berhampiran rumah penduduk tumbang,” dakwanya ketika ditemui di Kampung Basung di sini semalam.
Dakwanya, ramai penduduk kampung kini semakin takut untuk keluar malam, malah tidak berani ke kebun sehingga hasil pertanian mereka terbiar begitu sahaja.
“Sekarang ini musim duku, saya sendiri takut untuk mengeluarkan buah itu dari kebun ekoran pernah terserempak dengan seekor gajah sewaktu memanjat pokok buah tersebut baru-baru ini.
“Kesannya hasil jualan duku di kebun saya yang biasa mencecah RM5,000 semusim kini merosot teruk kepada RM900 sahaja,” dakwanya.
Seorang lagi penduduk, Mamat Mat Amin, 74, mendakwa terserempak dengan dua ekor gajah sewaktu dalam perjalanan pulang dari masjid baru-baru ini.
“Kami benar-benar berharap isu pencerobohan gajah yang sudah berlarutan sekian lama ini diatasi sebaiknya oleh pihak berwajib,” katanya.














