fbpx
Gambar hiasan.

Susahnya nak beli minyak masak peket

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seakan-akan tiada kesudahan, golongan peniaga dan pengguna mendakwa mereka sukar mendapatkan bekalan minyak masak peket satu kilogram (1kg) dengan ada antaranya terpaksa menunggang sejauh lima kilometer semata-mata untuk membelinya.

Tinjauan Kosmo! mendapati, ada pengguna mendakwa mereka dikenakan syarat supaya membeli barang lain terlebih dahulu sekiranya mahu mendapatkan minyak masak peket berharga RM2.50 itu.

Kesukaran mendapatkan bekalan berkenaan didakwa telah berlarutan sejak berbulan lamanya.

Di George Town, seorang suri rumah, Hayati Osman, 48, berkata, dia terpaksa akur dengan kerenah sebahagian pengusaha kedai runcit yang mengenakan syarat pengguna perlu membeli barang lain sebelum dapat membeli minyak masak peket.

“Kami sudah mangli (biasa) dengan syarat yang ditetapkan tauke kedai runcit. Kena beli barang di kedai mereka dulu baru dapat beli sebungkus minyak peket 1kg.

“Bukan itu sahaja, ada kedai yang menjualnya kepada pelanggan tetap atau dikenali sahaja. Kadang-kadang ada yang dapat beli dua peket,” katanya kepada di sini semalam.

KESUKARAN mendapatkan minyak masak peket 1kg membuatkan pengguna terpaksa membeli minyak botol. – Gambar hiasan

Keluhan sama dibuat pengguna dikenali Ina yang mendakwa dia terpaksa menunggang motosikal hingga lima kilometer dari rumahnya di Bayan Lepas ke sebuah pasar raya besar di daerah Timur Laut semata-mata mahu membeli minyak peket ­bersubsidi berharga RM2.50.

“Sudah terbiasa dengan kea­daan yang berlaku. Saya memilih menggunakan minyak masak peket 1kg kerana harganya paling murah dan sesuai dengan kami yang berpendapatan rendah.

“Saya sedaya upaya mendapatkan bekalan itu setiap tiga atau empat kali sehari untuk kegunaan masakan harian di rumah,” kata ibu kepada tujuh cahaya mata itu.

Dalam pada itu, di Kuala Terengganu, pekerja swasta dikenali Fatin, 37, mendakwa, terdapat peniaga yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga antara 30 hingga 50 sen setiap satu.

Dakwanya, dia juga terpaksa berebut dengan peniaga kedai makan yang turut menggunakan minyak peket dan membelinya dalam kuantiti yang banyak.

“Sepatutnya minyak subsidi ini hanya untuk kegunaan isi ­rumah atau domestik tetapi ada sebilangan peniaga komersial juga membe­linya dalam kuantiti yang banyak.

“Kalau kehabisan stok, saya terpaksa membeli minyak masak botol 2kg atau 5kg yang ­dijual pada harga lebih mahal berban­ding minyak peket,” katanya.

Sementara itu, di Sungai Petani, seorang peniaga kedai makan dikenali Nani, 45, berkata, pembelian panik sejak seminggu lalu menyebabkan sebuah pasar raya di daerah ini mengehadkan seorang pelanggan hanya boleh membeli dua peket sahaja dalam satu masa.

“Selama ini saya sering membeli keperluan barang untuk berniaga dari pasar raya ini dan terkejut apabila hanya dibenarkan membeli mengikut kuantiti yang dibenarkan sahaja.

“Namun di sini pembelian tidak melibatkan syarat lain seperti perlu membeli barang dalam jumlah tertentu sebaliknya pelanggan dilayan sama rata,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN